Anwar Ibrahim Anwar Ibrahim. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR



KAJANG – [VIDEO] Usaha para media menanti untuk mendapatkan respons calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal apabila beliau mengelak untuk ditemu bual usai solat Jumaat di Masjid Qariah Batu 10, Cheras, di sini, hari ini.

Meskipun berulang kali dipujuk sebaik keluar dari pintu masjid sehingga ke pintu kereta, Anwar tetap menolak dengan memberi alasan perlu pulang bersama Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Anwar dilihat datang dan pulang bersama Abdul Khalid dengan menaiki kenderaan yang sama.

Sementara Abdul Khalid sempat memberi sedikit maklum balas selepas keluar dari masjid berhubung majlis yang disifatkan Anwar sebagai majlis untuk bersilaturahim dengan penduduk setempat.

“Setiap Jumaat, saya akan menunaikan solat di masjid yang terletak di luar kawasan Shah Alam.

“...perlu diingatkan bahawa Kajang akan (menjadi) tempat tumpuan, jadi, saya mengambil kesempatan untuk solat di sini bersama-sama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya ringkas.

Namun, ketika ditanya media mengenai pandangannya terhadap kenyataan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli yang mendakwa beliau bukan ahli politik yang bagus, Abdul Khalid enggan mengulas.

Dalam pada itu, kelibat Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali turut kelihatan pada majlis itu meskipun beliau enggan mengulas sebarang isu pada awalnya.

Namun akhirnya beliau berjaya dipujuk pihak media dan bersetuju menjawab beberapa soalan berhubung rekonsiliasi nasional serta PRK Dun Kajang.