HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Januari 2014

Polis Bakal Guna Kereta Berkuasa Tinggi Dalam Operasi Kejar Raja Dadah

MSTAR ONLINE


Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) melihat kelengkapan yang digunakan pasukan 'Special Tactical Intelligence Narcotics Group' (STING) pada majlis pelancaran skuad berkenaan di Kuala Lumpur, Khamis. Hadir sama, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Datuk Noor Rashid Ibrahim (kanan) dan Timbalan Komander STING, SAC Roslan Wahid (kiri). -foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Bagi membanteras aktiviti 'raja dadah' atau 'kingpin dadah', Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik Polis Diraja Malaysia (Sting) akan menggunakan kereta berkuasa tinggi untuk mengejar mereka dalam operasi yang dijalankan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata pembelian kenderaan seumpama itu dibuat menerusi peruntukan Kementerian Dalam Negeri berjumlah RM5 juta.

Sebanyak RM4 juta lagi diperuntukkan bagi membeli pakaian seragam khas dan peralatan kelengkapan penguat kuasa narkotik, katanya dalam wawancara bersama media pada Selasa.

"Raja dadah melarikan diri daripada polis menggunakan kereta mewah dan laju seperti Mercedes Benz. Mana kita mampu kejar mereka dengan kereta Proton Waja polis. Jadi pasukan ini akan dijadikan unit khas untuk menangkap mereka," katanya.

Beliau berkata selain kereta jenis BMW, terdapat juga kenderaan lain yang dibeli untuk digunakan bagi penyamaran dan perisikan.

Mengenai penubuhan Sting, Noor Rashid berkata ia ditubuhkan atas saranan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu Malaysia bebas daripada dadah menjelang 2015, seperti yang dipersetujui dalam kalangan negara Asean.

Ahmad Zahid pada Khamis melancarkan Sting di Pusat Latihan Polis di sini.

Noor Rashid berkata Sting akan melengkapi pasukan polis narkotik yang kini mempunyai kekuatan 4,500 pegawai dan anggota di seluruh negara.

Dengan penubuhan Sting, sebanyak 200 jawatan baharu akan ditawarkan dan sehingga kini pihaknya sudah memilih 60 anggota narkotik yang terbaik termasuk 10 anggota wanita untuk menyertainya, katanya.

Beliau berkata pihaknya juga telah memohon kepada kementerian sebanyak RM1 juta bagi perolehan alat komunikasi risikan untuk Sting.

"Fokus pasukan ini adalah untuk mengesan sindiket dadah luar negara yang beroperasi di negara ini, pengedaran dadah oleh sindiket antarabangsa, aktiviti sindiket dadah yang terlibat dengan kongsi gelap dan mengesan makmal dadah," tambah Noor Rashid.

Beliau berkata Sting juga akan terlibat dalam operasi menyekat kemasukan dadah di lapangan terbang, laluan darat dan laut.

Pasukan ini pada peringkat awal akan dilatih dalam negara sebelum melanjutkan latihan dengan agensi narkotik di Taiwan, Hongkong, Perancis, Thailand dan Amerika Syarikat, katanya.

Mengenai kejayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membanteras sindiket dadah, beliau berkata biarpun dalam keadaan serba kekurangan, namun PDRM berjaya menahan 33 ketua sindiket serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM411 juta tahun lepas.

Beliau berkata 33 orang kingpin itu merupakan warga Nigeria, Hong Kong, Taiwan dan tempatan dan mereka adalah antara 175,198 individu yang ditahan atas pelbagai kesalahan narkotik.

Pihak polis turut menyita aset seperti tanah, rumah, wang tunai dalam akaun bank dan kereta daripada sindiket yang dianggar bernilai RM94.96 juta, katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan: