Pertemuan esok tak sentuh isu ganti MB YB Mohamed Azmin Ali (2 dari kiri) bersama menyampaikan ucaptama pada Majlis Taklimat Jentera Pilihanraya Kecil Dun Kajang N25 di Sungai Sekamat, Jalan Cheras pada hari ini. - SINAR HARIAN/Zulfadhli Zaki


KAJANG – Pertemuan Majlis Pimpinan PKR Selangor dengan Pas negeri ini  esok tidak akan menyentuh isu menggantikan Menteri Besar Selangor.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin berkata, sebaliknya pertemuan itu hanya menumpukan  gerak kerja PR bagi menghadapi PRK Dun Kajang.

“Saya telah tegaskan sebelum ini agar tiada sebarang spekulasi tentang pelantikan menteri besar. Saya telah menghubungi Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Samad dan menyatakan saya hormati sentimen rakan-rakan dalam Pas.

“Kita akan teruskan perbincangan esok untuk jamin kelicinan gerak kerja secara bersama. Bagaimanapun, perbincangan kita hanya tertumpu kepada persediaan untuk menang dan langsung tidak akan menyentuh isu penggantian Menteri Besar,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Katanya lagi, beliau juga telah menghubungi Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua dan akan mengadakan pertemuan dengan parti itu hujung minggu ini bagi tujuan sama.

Hari ini, Sinar Harian melaporkan kenyataan Pas Selangor yang akan menghantar senarai calon menteri besar sekiranya berlaku kekosongan jawatan tersebut.

Dalam pada itu, Azmin berkata, keputusan mesyuarat Majlis Presiden PR yang diadakan semalam telah sepakat  untuk memastikan kemenangan calon PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di PRK Dun Kajang kelak.

“Selaras dengan keputusan itu, PKR akan terus menjalin kerjasama erat dengan Pas dan DAP untuk menjamin kelicinan jentera.

“Malah, dalam pertemuan saya dengan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, mereka telah menyatakan komitmen untuk memberi sokongan kepada PR khususnya PKR,” katanya.