BALIK PULAU - Polis hari ini menafikan dakwaan berlaku kejadian rusuhan termasuk cubaan menyerang sebuah masjid di Bayan Baru, dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 8.30 malam itu, lebih 100 orang terdiri daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat setempat berhimpun di luar pagar masjid serta mendakwa terdapat individu tertentu merancang menyerang masjid berkenaan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Lai Fah Hin berkata sekumpulan kecil daripada peserta himpunan itu kemudiannya berarak ke Balai Polis Bayan Baru dan membuat 22 laporan polis berhubung hak eksklusif penggunaan kalimah Allah kepada orang Islam.

"Kita menasihati masyarakat supaya bertenang dan tidak mengambil tindakan undang-undang di tangan sendiri sehingga mencetuskan kekecohan serta menggugat ketenteraman awam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau menggesa orang awam tidak terpengaruh dengan khabar angin berunsur provokasi seumpama itu dan menyebarkannya tanpa menyelidik kesahihan sumber terlebih dahulu.

Beliau berkata susulan insiden itu polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana berhimpun tanpa permit. - Bernama