KEPUTUSAN Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di Dun Kajang menimbulkan pelbagai persepsi.
Apakah yang mempengaruhi politik di Kajang sehingga menarik minat Anwar bertanding, sedangkan banyak lagi kerusi selamat PKR boleh dipertaruhkan.
Biarpun PKR terang-terangan menyebut, keputusan mempertaruhkan bos mereka bukanlah kepentingan peribadi tetapi kepentingan politik dan perpaduan... namun, tindakan itu membuka pelbagai tanda tanya dalam kalangan pemain dan pemerhati politik.
Jikalau benar sandaran itu diambil, mengapa PRK Kajang tidak mempertaruhkan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli atau Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin di situ.
Bagi penulis, bersandarkan kepada 'kerusi selamat' mungkin salah satu sebab Anwar memilih untuk berada di Kajang bagi memberi satu laluan mudah dalam percaturan politik yang sedang diusahakannya. Anwar dan PKR tentunya mempunyai agenda parti dalam kerangka yang lebih besar bagi meneruskan 'survival' politiknya.
Persoalan ini turut dikongsi bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan tindakan Anwar bertanding di Kajang antara langkah Ketua Pembangkang itu dalam usaha untuk mencapai cita-citanya menjadi perdana menteri.
“Anwar mungkin ingin menjadi Menteri Besar Selangor dan menunjukkan kebolehannya mentadbir untuk meraih sokongan,” katanya.
Namun orang kanan Anwar, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali bertegas bahawa calon mereka itu tidak kemaruk untuk menjadi wakil rakyat. Kalau Anwar mahu menjadi perdana menteri, beliau sudah menjadi orang nombor satu negara pada 1998 tetapi sebagai seorang reformis, bukan itu yang dikejarkan, kata Azmin.
Percaturan tetap berlaku - itu jangkaan besar ramai pihak apabila peletakan jawatan Lee Chin Cheh dikatakan mahu memberi laluan kepada Anwar bertanding untuk satu lagi misi utama PKR. Bagaimanapun, Chin Cheh menafikannya. Lebih mengejutkan rakan Pakatan iaitu Pas mula bersuara dan meletakkan situasi yang berlaku ini sebagai satu pengkhianatan kepada rakyat Kajang.
Desas-desus sebelum ini ada mengaitkan beberapa wakil rakyat di Selangor pernah menawarkan kerusi yang disandang bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding antaranya Bukit Antarabangsa milik Azmin dan Sri Andalas, kerusi Dr Xavier Jeyakumar. Bagaimanapun Anwar menolak dan memilih Dun Kajang.
Adakah komposisi penduduk di kawasan itu yang terdiri daripada 50 peratus kaum Melayu, 41 peratus Cina dan selebihnya India dilihat cukup baik bagi Anwar dalam mencerminkan dirinya sebagai pemimpin pelbagai kaum?
Atau mungkin ini matlamat akhir Anwar dalam mendekati pentadbiran penting negara di Putrajaya yang terletak bersebelahan dengan Kajang. Percaturan politik berada dalam tangan Anwar, namun jari pengundi bakal menentukan kesudahannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan