Oleh: Rusnizam Mahat
SERI KEMBANGAN : Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki kekuatan untuk menjana ekonomi dan pelaburan ke Selangor sekiranya memenangi kerusi DUN Kajang, kata Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Ean Yong Hian Wah.
Menurutnya, Anwar mempunyai keupayaan berbuat demikian berdasarkan pengalamannya sebagai timbalan Perdana menteri dan menteri kewangan, selain hubungan rapat dengan pemimpin antarabangsa.
“Beliau boleh membantu memainkan peranan penting untuk menarik lebih banyak pelaburan dari luar negara ke negeri Selangor. Ini akan menyumbang banyak kebaikan dan kemajuan kepada ekonomi negeri.
“Dengan pengalaman dan hubungan rapat dengan pemimpin antarabangsa, beliau boleh menarik lebih banyak pelaburan asing (FDI) dan pada masa sama menambah pelaburan domestik di Selangor,” kata Adun Seri Kembangan ini.
Selangor mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM 49.75 bilion sepanjang 2008 hingga 2012 dan berjaya mengekalkan prestasi negeri itu sebagai destinasi pelaburan utama negara ini.
Jumlah itu adalah 28.5 peratus daripada jumlah keseluruhan nilai pelaburan negara dan 31 peratus daripada keseluruhan projek yang diluluskan di Malaysia.
Bagi tahun 2013, Selangor di bawah pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dijangka mencatatkan pelaburan sekitar RM 6 bilion.
Hian Wah berkata, DAP Selangor memberi sokongan penuh kepada Anwar dan akan memastikan kemenangan ketua pembangkang itu pada pilihan raya kecil DUN Kajang.
“Kami juga menyeru supaya pengundi DUN Kajang menyokong beliau agar dapat memainkan peranan demi kebaikan ekonomi dan kemajuan Selangor,” ujarnya yang juga Setiausaha DAP Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan