HALAMAN SANTAI
Rabu, 29 Januari 2014
Selepas ditekan, Anwar akan jelaskan mengapa bertanding DUN Kajang
Selepas diserang bertalu-talu di media sosial berhubung keputusannya untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan beliau akan menjelajah kawasan tersebut bagi memberikan penerangan.
Anwar juga berkata beliau akan menjelaskan mengenai keputusan dan strategi seterusnya dalam menjadikan kerusi DUN Kajang bagi melonjak Pakatan Rakyat (PR) ke Putrajaya.
"Ia antara strategi, kita halusi dan akan jelaskan di Kajang," kata Anwar dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.
"Kita perlu lonjakan sekarang."
Ketua Pembangkang itu mengakui keputusan bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Kajang sebagai batu loncatan ke Putrajaya, selepas gagal dalam pilihan raya umum ke-13 lalu.
Anwar berkata, sekiranya menang di Kajang, misi pertamanya adalah untuk menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri contoh dan kemudiannya menakluk Putrajaya.
"Dalam perbincangan awal, konsensusnya kita perlu bergerak dan meluaskan tahap pencapaian sebagai sebuah negeri bersederhana dan dilihat mampu menggunakan kepimpinan Pakatan secara keseluruhan sebagai batu loncatan untuk menakluk ke Putrajaya," katanya.
Anwar mengakui berhutang dengan rakyat dan penyokong parti terhadap keputusannya bertanding di Kajang, bagaimanapun perkara tersebut akan diterang semasa berlangsung pilihan raya nanti.
"Beberapa kebimbangan adalah adil dan kami berhutang penjelasan dengan mereka.
"Kami perlu jelaskan beberapa isu yang dibangkitan dan mereka mahu dengar daripada saya, kenapa saya terima dengan cadangan untuk berpindah ke Dewan Undangan Negeri," kata Anwar.
Beliau juga berkata akan menemui DAP dan PAS bagi menjelas lebih lanjut tentang langkah mengosongkan kerusi di Kajang.
"I informed PAS and also DAP that because of the tekanan, tak beri ruang bincang lebih panjang. Saya terima teguran itu dengan baik dan saya juga tahu perlu ada penjelasan lebih lanjut dan akan saya lakukan dalam masa terdekat," katanya .
PKR di Selangor ketika ini sedang bergolak selepas dikatakan wujud usaha untuk menjatuhkan menteri besar penggal kedua, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada tampuk pemerintahan.
Krisis dan kontroversi tercetus sejak pengumuman kenaikan gaji oleh Abdul Khalid yang dikatakan tidak dibuat secara konsensus.
Kemudian disusuli insiden pengguguran Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali daripada anak syarikat negeri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) baru-baru ini.
Kemelut PKR berterusan selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, Lee Chin Cheh mengosongkan kerusinya pada Isnin.
Semalam, pengumuman dibuat PKR untuk meletak Anwar sebagai calon di kerusi yang dianggap selamat untuk dimenangi.
Langkah meletak Anwar dilihat pengkritik sebagai usaha meredakan ketegangan antara kem Abdul Khalid dan Azmin yang menyukarkan pentadbiran Selangor.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan