HALAMAN SANTAI

Jumaat, 31 Januari 2014

PRK Kajang: Anak muda mahu lihat pemuafakatan nasional

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia (PPM) berpandangan gagasan idea permuafakatan nasional yang diumumkan oleh Perdana Menteri kelmarin meliputi empat teras utama merangkumi sosial, politik, kerajaan dan hubungan antarabangsa tiada mempunyai agenda yang jelas berkenaan agenda anak muda Malaysia dan agenda agama.

“Perlaksanaan agenda ini juga masih samar-samar,” tegas ketuanya, Suhaizan Kaiat.

Katanya, PPM menegaskan, anak muda Malaysia sebenarnya merasa bosan dengan polemik politik yang tidak berkesudahan.

Menurutnya lagi, mereka mahukan pemuafakatan negara yang lebih harmoni dengan kerjasama ke arah mewujudkan negara yang aman, damai dan sejahtera.

PPM juga, tegas beliau menolak kerja sama politik kepartian antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Katanya, agenda anak muda Malaysia adalah penting dalam pemuafakatan nasional kerana merekalah yang berdepan dengan isu pengangguran, pendidikan, peningkatan kos sarahidup, perumahan dan lain-lain.

“Mereka mewakili 40 hingga 50 peratus pengundi berdaftar di negara ini. Membelakangkan agenda anak muda akan melebarkan jurang mereka dengan pembangunan negara serta menjadi sebab kegagalan agenda ini,” katanya.

Beliau berkata, agenda agama juga penting bagi menyelesaikan masalah yang sedang melanda rakyat negara ini seperti isu khalimah Allah.

Tambahnya, sentimen membenci antara agama sedang merebak dan sangat merbahaya kepada negara di samping ada pihak sengaja bermain dengan isu sensitif ini untuk mendapat keuntungan peribadi kumpulannya.

Dalam perlaksanaan agenda ini, ujarnya PPM mencadangkan supaya Kaukus Parlimen diwujudkan untuk menyelesaikan masalah-masalah berbangkit dan isu-isu utama perlu dibincang.

Selain itu, katanya agenda pemuafakatan ini perlu diwujudkan sehingga ke peringkat kerajaan negeri dan kerajaan tempatan.

Justeru, beliau mencadangkan agar wakil semua parti politik dan NGO perlu dilibatkan sama dalam soal pembangunan negara, negeri dan daerah.

PPM juga, ujarnya berpandangan anak muda Malaysia perlu dilibatkan secara langsung dalam merangka agenda pemuafakatan ini.

“Penglibatan ini bukan hanya sekadar dari aspek inisiatif semata-mata. Keseimbangan ini bagi membina sebuah negara yang benar-benar mapan, maju dan berdaya saing dengan penglibatan semua pihak,” katanya lagi.

Menurutnya, sebagai bukti kepada komitmen agenda pemuafakatan nasional ini, anak muda Malaysia mahu melihatnya dalam pilihan raya kecil Kajang dalam waktu terdekat ini.

“Kami mahu melihat politik fitnah, rasuah, kebencian, sentimen agama, perkauman dan ketidakadilan dihentikan dan ditukar kepada budaya politik baru yang lebih harmoni,” ujarnya.

Tiada ulasan: