KOTA BHARU- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap seorang penyeludup minyak selepas didapati bersalah mengedar heroin seberat 310.1 gram, dua tahun lepas.
Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhi hukuman itu terhadap Roslan Hanapi, 36, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Bagaimanapun, dua rakan tertuduh, Abdul Razak Senik, 41, dan Mohd Hafizul Aswan Azman, 31, dilepas dan dibebaskan terhadap pertuduhan mengedar dadah.
Roslan juga didapati bersalah terhadap pertuduhan memiliki senjata api dan dihukum penjara seumur hidup dan enam sebatan.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah stor di Kampung Bakat, Rantau Panjang, Pasir Mas, pada 2.15 pagi, 30 Jan 2012 dan didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati.
Pada tarikh, waktu dan tempat sama, tertuduh turut didakwa memiliki sepucuk pistol jenis Revolver .32 3" Model 31-1 Smith & Wesson dan didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971) yang boleh dihukum penjara seumur hidup dan minimum enam sebatan.
Terdahulu, peguam tertuduh, Muhammad Hasif Hasan dalam rayuannya memohon mahkamah menjatuhi hukuman ringan kerana tertuduh sudah insaf dengan
kesalahannya.
Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim bagaimanapun memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira tertuduh mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan senjata api dan dadah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan