SHAH ALAM: Walaupun Duta Besar China Ke Malaysia, Dr. Huang Huikang
meminta semua pihak memahami maksud di sebalik perkataan 'berakhir'
berkenaan kehilangan MH370, namun pihak pembangkang tetap berpendirian
bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu memberikan
penjelasan yang lebih terperinci mengenainya.
Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata,
penjelasan segera perlu diambil oleh kerajaan agar rakyat terutamanya
keluarga krew dan penumpang pesawat berkenaan tidak keliru dengan
kenyataan Perdana Menteri minggu lalu.
"Saya bersetuju dengan China supaya kerajaan Malaysia berterus-terang
dan apa maksud berakhir di Lautan Hindi. Jangan kita melepaskan semangat
dan tanggungjawab itu dan tidak ada usaha berterusan untuk membuktikan
apa yang terjadi kepada MH370.
"Ia tidak membuktikan bahawa kapal terbang itu jatuh disitu atau berada
di situ atau keadaannya di situ. Bermaksud kita tak boleh berhenti
usaha pencarian ini.
"Kena berterus-terang, jangan berselindung dan lari dari soalan pokok
iaitu apa kesudahan kepada MH370. Bukan lari tajuk dan elak pertanyaan.
Sebab itu (rakyat dan kerajaan) China kecewa," katanya kepada pemberita
Antarapos.
Huikang melalui sidang media khasnya di Kedutaan China semalam berkata
beliau memahami Najib telah secara berhati-hati menggunakan perkataan
berakhir pada sidang akhbar 24 Mac lalu.
Ujar beliau, tujuan perkataan itu digunakan untuk mengelakkan sebarang
makna yang menyakitkan kepada keluarga krew dan penumpang MH370.
"Kalau anda menyatakan secara terbuka bahawa pesawat terhempas dan
tidak ada yang terselamat, ini akan memberi kesan mendalam kepada
keluarga.
"Jadi, tolong faham tujuan (pengunaan perkataan berakhir) kepada perasaan keluarga penumpang," rayu Huikang.
Tegas beliau, orang ramai tidak sepatutnya terlalu fokus kepada makna
perkataan berakhir, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha mencari.
Diajukan hal itu, Abdullah Sani merasakan perkataan 'berakhir' itu hanya akan memberi tekanan emosi kepada keluarga mangsa.
"Itu lagi menekan emosi keluarga. Itu sikap persembunyian. Isunya
keluarga nak tahu, sama ada jika meninggal mereka mungkin akan terima.
Dalam keadaan meninggal atau tergantung. Jika meninggal mana mayat dan
kapalnya? Itu persoalannya sebab mereka menanti khabar.
"Kejayaan itu bukan bermaksud jumpa mayat sahaja, kejayaan itu turut
meliputi jumpa bangkai kapal terbang. Itu kejayaan (usaha mencari),"
katanya lagi.
Dalam pada itu juga, Huikang menafikan kerajaan China kecewa dengan cara Malaysia mengendalikan krisis MH370.
Beliau sebaliknya menyalahkan media barat kerana membakar perasaan ahli
keluarga kepada penumpang warga China di pesawat tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan