ANTARAPOS.COM
SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor menubuhkan jawatankuasa khas yang
bertindak sebagai sekretariat pemantau dan pemberi nasihat sekiranya
cadangan proses persempadanan semula bahagian pilihan raya melibatkan
negeri itu dilaksanakan.
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata cadangan
persempadanan semula adalah langkah proaktif berikutan jumlah penduduk
di negeri itu semakin meningkat saban tahun sehinggakan terdapat
bahagian pilihan raya yang mempunyai lebih 100,000 pengundi.
"Ada juga bahagian yang pengundinya kurang 30,000, jadi cadangan
persempadanan semula adalah perlu bagi menyeimbangkan jumlah penduduk di
seluruh negeri Selangor.
"Jawatankuasa yang ditubuhkan itu terdiri daripada badan-badan bukan
kerajaan dan pakar-pakar berkaitan yang bebas daripada kongkongan
pentadbiran kerajaan dalam menyelaraskan kehendak demokrasi negara,"
katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini Rabu.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Haniza Mohamed Talha
(PKR-Taman Medan) yang ingin tahu persiapan atau cadangan kerajaan
negeri dalam proses persempadanan semula kawasan DUN sekiranya
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengemukakan cadangan persempadanan itu.
Katanya penubuhan jawatankuasa itu antara lain untuk mengkaji keperluan
persempadanan bagi sesuatu kawasan termasuk memberi nasihat kepada Unit
Perancang Ekonomi negeri untuk menentukan perkara yang diperlukan dalam
cadangan tersebut.
"Kerajaan negeri juga mempunyai cadangan agar proses persempadanan
semula itu sekiranya dilaksanakan dapat mengikut piawaian antarabangsa
iaitu satu rakyat, satu undi, satu nilai. Namun, ia masih dalam
perbincangan dan belum diputuskan," katanya.
Bagaimanapun, Abdul Khalid berkata cadangan persempadanan semula yang
diutarakan SPR melibatkan seluruh negara, dan ia adalah tanggungjawab
suruhanjaya itu untuk melaksanakannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan