Undur jika tamat tempoh Idris dan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam semasa sidang media DMDI di Ayer Keroh, semalam.


MELAKA – Syarikat pertama yang dipertanggungjawab mencari dan mengeluarkan harta karun di Pulau Nangka, diminta mematuhi tarikh akhir Perbadanan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim).

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, sebaik saja tempoh diberikan tamat pada 30 April ini, syarikat terbabit perlu mengundur bagi memberi ruang kepada syarikat baharu mengambil alih tugas sama pada Mei ini.

Beliau berkata, walaupun syarikat pertama itu mungkin dapat petunjuk pada hari-hari akhir kontrak diberikan, namun mereka perlu tinggalkan tugas pencarian serta-merta sebaik sahaja tempoh tamat.

Menurutnya, tindakan itu perlu bagi mengelak berlaku pertindihan, sekali gus kemungkinan pertelingkahan membabitkan dua syarikat.

“Saya paling khuatir pertembungan dua pasukan penggali ini. Saya tak mahu perbalahan, apa-apa perkara tidak diingini berlaku apabila mereka bertembung.

“Jika pintu terbuka, (walaupun) sudah nampak barang (harta karun) itu, tetapi kalau sudah sampai masa, mereka mesti keluar. Harap patuh,” katanya selepas merasmikan Seminar Antarabangsa Sains, Teknologi dan Inovasi Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) di Auditorium Rumah Media Melaka, Ayer Keroh.

Idris berkata, kerajaan negeri menetapkan kerja pencarian harta karun yang bermula kira-kira 30 tahun lalu menerusi pelbagai pihak, dihebahkan kepada umum bagi mengelakkan perbalahan termasuk penyelewengan.

Katanya, jika harta itu ditemui, kerja mengurus khazanah negara itu akan dilakukan mengikut akta ditetapkan bagi mengelakkan kecuaian.