MALAYSIAKINI
Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyifatkan tindakan segelintir
badan bukan kerajaan yang mahu membakar kilang Cadbury Confectionery
Malaysia Sdn Bhd (Cadbury) sebagai keterlaluan dan tidak melambangkan
imej Islam.
Presidennya, Amidi Abd Manan berkata walaupun penemuan DNA khinzir dalam
dua produk coklat Cadbury merupakan perkara serius, namun tindakan yang
dipenuhi emosi dan tidak rasional hanya akan memalukan umat Islam.
"Kenyataan sebegini jelas menunjukkan kedangkalan kefahaman individu tersebut berkaitan agama Islam.
"Islam sebagai agama kesejahteraan sentiasa menonjolkan sifat rahmat dan
kasih sayang Allah, apatah lagi makanan itu dimakan tanpa diketahui dan
disedari mengandungi unsur daripada babi," katanya dalam satu kenyataan
malam tadi.
Amidi berkata selain mengenakan tindakan tegas terhadap syarikat
terbabit, prosedur susulan dalam penguatkuasaan Akta Halal oleh Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu diperbaiki.
Sabtu lepas Kementerian Kesihatan mengesahkan penemuan DNA khinzir dalam
dua sampel coklat Cadbury iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel
(Cadbury Dairy Milk Hazelnut) dan Coklat Susu dengan Buah Badam (Cadbury
Dairy Milk Roast Almond).
Susulan daripada itu Jakim menggantung serta merta sijil pengesahan halal dua produk keluaran Cadbury itu.
Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahukan kilang
Cadbury disita dan pengguna memboikot produknya susulan penemuan
produk tidak halal keluaran syarikat itu baru-baru ini.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim
Johan, berkata kilang tersebut seharusnya disita apabila tiada langsung
permohonan maaf yang diusulkan dan pihak berkuasa seharusnya bertegas
dalam hal ini.
"Kilang itu patut disita dan dihentikan pengeluaran produknya kerana
setelah penemuan ini, tiada permohonan maaf ataupun rasa kesal yang
timbul dari pihak Cadbury.
"Mengikut Akta makanan, pihak berkuasa ada hak untuk menyita kilang
terbabit kerana gagal memenuhi kriteria-kriteria ditetapkan," katanya
ketika mengadakan sidang media 'Cadbury Perlu Dihukum Pengguna' di Villa
Puteri Condominium, semalam.
Nadzim berkata, sudah tiba masanya untuk para pengguna menggerakkan
kuasa membantah secara tegas dengan memboikot semua produk syarikat itu
dan menjadikan isu sebegini sebagai satu pengajaran dan pengalaman
kepada seluruh rakyat untuk bersatu menentang ketidakadilan
Nadzim juga meminta kerajaan bertegas dalam menguatkuasakan penggunaan
logo halal kepada semua pengusaha dengan mengadakan ujian berkala setiap
dua bulan sekali bagi memastikan kandungan setiap produk halal.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan