MALAYSIAKINI
Acara renang Sukan Malaysia (Sukma) ke-17 diteruskan walaupun sebahagian
besar bumbung kanvas Kompleks Renang (KSN) Kangar terkoyak selepas
lebih kurang 10 minit hujan turun.
Setiausaha Kehormat Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) Edwin Chong
berkata acara renang yang menawarkan 10 pingat emas itu bakal diadakan
selepas bumbung kanvas dibuka.
"Kita akan teruskan acara renang, tidak ada masalah beraksi di kolam
renang terbuka ataupun tertutup. Sukan SEA di Cheras dulu pun dijalankan
di kolam renang terbuka.
"Kolam renang di sini boleh digunakan dan pertandingan boleh diteruskan
selepas bumbung kanvas dibuka. Kita akan adakan pertandingan secara
terbuka," katanya kepada pemberita sebaik sahaja kejadian itu berlaku.
Bumbung kanvas kompleks renang tersebut mula koyak semasa acara terjun
berjalan di kolam terjun, berhadapan dengan kolam renang itu, selepas
hujan selama 10 minit dan pemberitahuan kolam renang ditutup dipaparkan
pada skrin kira-kira pukul 2.20 petang.
Acara terjun terpaksa dihentikan sejurus sahaja kejadian berlaku namun
ia bermula semula setengah jam selepas itu, sebaik sahaja hujan dan
angin kuat berhenti.
Bumbung kanvas tersebut mengalami kerosakan selepas lebih kurang empat jam acara terjun berlangsung.
Edwin berkata acara terjun tidak terganggu dengan masalah bumbung kanvas
terkoyak dan ia akan diteruskan sehingga acara terakhir.
"Saya tidak boleh beri komen mengenai acara renang, saya
bertanggungjawab untuk bahagian acara sahaja. Bagi fasiliti seperti
kolam, ia tanggungjawab penganjur namun bagi saya kemudahan lain tiada
masalah," katanya.
Sebelum ini, acara akuatik yang dijadualkan berlangsung pada Rabu
ditunda ke hari ini selepas Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk
M.Saravanan meminta aspek keselamtan kompleks tersebut diperiksa dengan
betul.
Sementara itu, Pengarah Operasi Lima Corporation Sdn Bhd, Hishamuddin
Abdul Hamid, wakil kontraktor utama projek pembinaan pusat akuatik itu,
berkata kanvas yang digunakan untuk bumbung kolam renang adalah berbeza
dengan kanvas yang dipasang pada bumbung utama iaitu bumbung bagi kolam
terjun.
Katanya, kanvas yang digunakan ialah jenis 'porous' bersifat tidak kalis
air dan pihaknya bersetuju menggunakan kanvas jenis itu selepas
diberikan taklimat mengenai fungsinya.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri
Zolkples Embong berkata pihaknya akan berjumpa dengan kontraktor,
Jabatan Kerja Raya (JKR) Perlis dan jawatankuasa teknikal Sukma ke-17
sebelum menghantar laporan kepada Kementerian Belia dan Sukan berhubung
insiden itu.
"Sebelum ini kita mendapat jaminan bahawa pusat akuatik ini selamat
digunakan dan JKR telah mengeluarkan sijil perakuan bahawa kompleks ini
selamat digunakan," katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan