HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 Mei 2014

'M'sia pentingkan panda berbanding janda?'

MALAYSIAKINI



 


Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berkata dana RM60 juta untuk memelihara beruang panda dari kerajaan China itu lebih bermanfaat jika disalurkan untuk membantu golongan tidak bernasib baik.

Katanya, jumlah RM60 juta yang perlu dibelanjakan untuk menempatkan haiwan tersebut sepatutnya boleh digunakan untuk membantu ibu tunggal dan janda yang dalam kesusahan.

"Apa manfaat yang boleh didapati negara? Ikut bancian 2010, lebih 880,000 orang janda dan ibu tunggal ada di negara ini.

"Kerajaan Malaysia lebih pentingkan panda dari janda? " katanya dengan nada berjenaka dalam sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.

Tambahnya, kerajaan sebelum ini mendakwa kedatangan pasangan haiwan tersebut akan menguntungkan Malaysia dan juga menjadi tanda hubungan dengan China.

"Tetapi kita kena bayar RM60 juta dan China tak bayar apa-apa," katanya.

Oleh yang demikian, tindakan tersebut Mahfuz menyifatkan kerajaan Malaysia sebagai "kerajaan bahlol" kerana membuat perjanjian seperti itu.

"Ini perjanjian paling tolol dari kerajaan bahlol," kata beliau lagi.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G Palanivel minggu lalu mengumumkan, jumlah kira-kira RM60 juta itu termasuk kos untuk pembinaan rumah untuk haiwan berkenaan yang berjumlah RM25 juta.

Selain itu ia turut meliputi RM20 juta untuk tempoh sewaan selama empat tahun dan RM15 juta untuk kos penyelenggaraan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini turut menjelaskan kedatangan Fengyi dan Fuwa merupakan menjaadi tanda sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik kedua-dua negara 31 Mei depan.

Kedua pasangan panda itu dipinjamkan kerajaan China kepada Zoo Negara Malaysia bagi tempoh 10 tahun menerusi Program Penjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi.

Tiada ulasan: