HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 Mei 2014

Dakwah kepada mualaf perlu berterusan – TG Nik Aziz

SALMAH MAT HUSAIN 



 


KOTA BHARU: Program dakwah kepada golongan mualaf hendaklah dilakukan secara berterusan bagi memantapkan kefahaman mereka terhadap Islam.

Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, apa yang sering berlaku mereka hanya diislamkan sahaja tanpa ada tindakan susulan.

“Akibat kelalaian kita, bukan hanya di Sabah atau di mana sahaja perkara seperti itu sentiasa berlaku.

“Untuk itu saya berharap selepas mengislamkan orang bukan Islam, perlu diadakan kelas-kelas agama bagi membolehkan mereka memahami Islam lebih mendalam,” ujarnya ketika menerima kunjungan bekas vokali kumpulan Nasyid Raihan, Nazri Johani di Institut Pemikiran Tok Guru semalam.

Nazri berkunjung ke Kelantan bagi mencari dana untuk membina Al-Tahfiz Bayu Syahadah di Ranau, Sabah.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz turut mengalu-alukan usaha dilakukan Nazri bagi membantu umat Islam di Sabah bagi menjaga aqidah saudara-saudara kita.

Nazri ketika ditemui berkata, pihaknya memerlukan dana sehingga RM10 juta bagi menyiapkan pembinaan pusat tahfiz tersebut.

Bagaimanapun katanya sebanyak RM1 juta diperlukan untuk menyiapkan bangunan asas yang akan disiapkan lebih awal.

“Alhamdulillah syukur banyak-banyak setakat ini masyarakat Kelantan adalah penyumbang yang paling tinggi bagi membolehkan pembinaan dijalankan,” ujarnya.

Mereka yang berminat ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada Al-Tahfiz Bayu Syahadah Resources melalui CIMB Bank 12300000833109 atau Bank Islam 12038010098575.

Sementara itu jam 10.30 pagi Nazri akan bersama peminatnya di Medan Ilmu, Jalan Dato’ Pati selepas kuliah mingguan pagi Jumaat.

Tiada ulasan: