KUALA LUMPUR: Menteri diJabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri menjelaskan bahawa beliau telah menerima draf pertama rang undang-undang Akta Keharmonian Nasional pada minggu lepas daripada Majlis Perundingan Perpaduan Nasional.
Menurutnya perlaksanaan akta tersebut masih lagi dalam perbincangan dan memerlukan lebih masa untuk dikaji.
“Akta ini perlu diperhalusi dan diteliti secukupnya agar adil dan saksama untuk setiap lapisan rakyat.
“Kita ingin memastikan rakyat di Malaysia bersatu padu kerana rakyat di Malaysia sendiri berbilang agama dan bangsa,” katanya dalam satu temubual di Wisma Bernama.
Katanya lagi, adalah tidak adil untuk menetapkan masa bagi melaksanakan undang-undang baru.
“Kita tak nak undang-undang yang diluluskan akan membebankan rakyat dan menyusahkan masyarakat,” ujarnya.
Dalam pada masa yang sama juga, perlaksanaan akta ini juga haruslah selari dengan matlamatnya iaitu untuk memastikan perpaduan di negara terus terjaga dan terbela.
Jelasnya lagi, pihaknya kini juga sedang melihat dan mengambil beberapa contoh di negara luar seperti Singapura dan United Kingdom.
“Jumlah dan bilangan penduduk di negara kita dan Singapura jauh berbeza namun kita ambil mana yang baik untuk dijadikan contoh,” katanya.
Nancy turut mengulas berkenaan Seksyen 114A berkenaan Akta Keterangan Malaysia.
Menurutnya akta tersebut perlu untuk dilihat dan perlu dikaji semula.
“Akta tersebut akan dilihat dan dikaji semula,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan