Oleh Shahbudin Husin
Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi adalah pemimpin UMNO yang paling kerap dan rajin
turun berkempen di Teluk Intan. Boleh dikatakan seetiap hari atau
selang hari, kelibatnya akan kelihatan di bandar ini. Keadaan ini bukan
saja disebabkan kedudukannya sebagai pemimpin kanan UMNO yang mahu
memastikan kemenangan calon BN, Mah Siew Keong tetapi mungkin juga
disebabkan kawasan Parlimen yang diwakilinya, Bagan Datoh adalah
bersebelahan dengan Teluk Intan.
Ahmad Zahid juga paling banyak program serta paling banyak bercakap dengan media. Dalam masa yang sama, beliau juga paling banyak mengeluarkan mengeluarkan kenyataan sensasi dan kontroversi di Teluk Intan ini.
Beliau bercakap mengenai anggota RELA yang tidak mengundi dalam pilihanraya umum lalu dan memberi amaran agar menunaikan tanggungjawab kali ini. Ini kerana, dakwanya, beliau tahu siapa mereka itu.
Beliau juga menawarkan janji memberi uniform baru kepada anggota RELA jika calon BN menang dalam pilihanraya kecil ini tetapi jika BN kalah, "belilah sendiri".
Ketika semua media dan jentera kempen banyak memperkatakan calon DAP, Dyana Sofya yang dianggap cantik dan muda, berbeza dengan calon BN, Mah Siew Keong yang dianggap agak tua dan kitar semula, Ahmad Zahid juga berkata, "Dyana Sofya bukanlah cantik sangat. Dia hanya cantik dalam gambar dan cantik sikit ketika muncul dalam televisyen tapi tidaklah cantik sangat secara realitinya".
Mengenai pengundi Cina pula, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO melabelkan mereka sebagai golongan yang tidak bersyukur dan gembira jika calon BN kalah kerana mereka adalah golongan kaya dan mempunyai pelbagai jenis perniagaan.
Katanya, beliau, orang Melayu dan India akan sedih jika DAP menang lagi di Teluk Intan ini tetapi pengundi Cina tidak terkesan apa-apa kerana mereka sudah kaya sedangkan dengan bantuan orang Melayu dan India yang membeli barangan merekalah, maka mereka menjadi kaya.
Semalam pula, Zahid sekali lagi menimbulkan sensasi dengan memberi amaran kepada golongan kongsi gelap dan penjenayah agar tidak mengambil kesempatan sepanjang kempen pilihanraya kecil Teluk Intan ini.
"Jangan ugut orang, jangan cuba campurtangan dalam politik. Saya tahu muka mereka, saya tahu nama mereka, saya mereka duduk di mana dan lari ke mana. Saya bukan sekadar beri amaran, tapi tahu macam mana nak lakukan," katanya dalam ceramah malam tadi.
Nampaknya, sama seperti anggota RELA yang diketahuinya tidak mengundi BN dalam pilihanraya umum lalu, Ahmad Zahid juga tahu mengenai kegiatan jenayah di Teluk Intan. Cumanya, kalau sudah tahu semuanya, bertindaklah segera.
Menjelang hari-hari terakhir kempen ini, Ahmad Zahid mungkin lebih kerap turun ke Teluk Intan dan tidak mustahil juga lebih banyak lagi kenyataan sensasi dan kontroversi yang ditimbulkannya.
Kenyataan beliau mengenai anggota RELA yang diketahuinya tidak mengundi dianggap oleh DAP bercirikan ugutan manakala tawarannya mahu membelikan uniform pula dilihat sebagai jelas percubaan mahu merasuah pengundi. Tetapi SPR sehingga ini mempertahankan kenyataan Ahmad Zahid itu dan menganggapnya sebagai nasihat saja.
Tetapi kenyataan beliau mengenai pengundi Cina yang tidak bersyukur bukan saja mengundang rasa tidak senang DAP yang mahunya meminta maaf tetapi juga telah menyinggung perasaan MCA, Gerakan dan MIC.
Parti komponen BN ini jelas tidak gembira dengan keceluparan Ahmad Zahid itu, mahunya memberi penjelasan lanjut mengenai takrifan "tidak bersyukur" itu serta mengingatkannya agar tidak cuba membangkitkan sentimen kaum dalam pilihanraya ini kerana ia lebih menyempitkan peluang BN untuk menang dalam pilihanraya 31 Mei nanti.
Kenyataan Zahid mengenai pengundi Cina bukan saja bersifat perkauman, malah tidak wajar diucapkan oleh seorang yang bertaraf pemimpin dalam kerajaan. Ini kerana menyokong pembangkang bukanlah suatu kesalahan di sisi undang-undang dan DAP juga merupakan parti yang sah berdasarkan amalan demokrasi berparlimen di negara ini.
Begitu juga pengundi Melayu di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang banyak menyokong Pas tidak seharusnya dilabelkan tidak bersyukur. Malah pengundi Melayu atau bukan Melayu yang menyokong kerajaan juga belum tentu mereka itu bersyukur. Pilihan terhadap parti disebabkan banyak faktor dan keinginan.
Seharusnya kedudukan negara yang berbilang kaum, kerencaman rakyat dalam memilih parti yang mahu disokong, amalan demokrasi, kebebasan dan hak setiap rakyat hendaklah dihormati. Pilihanraya hanyalah proses memilih wakil di Parlimen dan bukan sesuatu yang mengancam keharmonian atau keselamatan negara.
Berkempen secara tidak wajar dengan membangkitkan api perkauman dan ketegangan, tidak membantu menjadikan negara jni lebih baik untuk semua rakyatnya, malah serangan kepada aliran sokongan sesuatu kaum lebih menjadikan mereka semakin jauh dengan kerajaan.
Keresahan MCA, Gerakan, MIC terhadap kenyataan Ahmad Zahid itu bukan saja mengenai peluang menang Mah Siew Keong yang mungkin lebih tipis dalam pilihanraya kecil ini tetapi juga dalam menghadapi cabaran pilihanraya yang seterusnya. Jika pengundi Cina terus dilabel tidak bersyukur dan menyokong DAP seolah-suatu suatu dosa serta kesalahan, tanpa ada usaha lain untuk mendekati dan berbaik-baik dengan mereka, sudah tentulah ia akan menjarakkan lagi hubungan mereka dengan kerajaan.
Keengganan pengundi Cina menyokong kerajaan haruslah juga dilihat dalam konteks prestasi kerajaan dan kewibawaan pemimpinnya yang turut banyak dipertikaikan. Tidak seharusnya hanya pengundi Cina yang dipersalahkan sedangkan kerajaan dan pemimpinnya tidak mahu memperbaiki diri.
Di Teluk Intan, sementara majoriti Cina memang menjadi penyokong DAP berbanding MCA atau Gerakan, kenyataan Ahmad Zahid yang menyinggung perasaan itu akan membuatkan blok sokongan mereka lebih melimpah kepada calon DAP, Dyana Sofya yang pada pandangan mata beliau "tidaklah cantik sangat" itu.
Kenyataan Ahmad Zahid secara langsung membuatkan Dyana Sofya "lebih cantik" di mata pengundi Cina dan ini membuatkan jentera BN terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan lebih sokongan daripada pengundi Melayu. Mah Siew Keong sudah direntap harapannya oleh Ahmad Zahid untuk mendapat sokongan daripada kaumnya sendiri. http://shahbudindotcom.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan