KUALA LUMPUR: Pensabotaj pemilihan PKR terdiri daripada anggota kumpulan kongsi gelap yang berlaku sewaktu proses pengundian.
Demikian dijelaskan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Datuk Johari Abdul dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya mendapati penemuan itu setelah menjalankan siasatan mendalam serta mengadakan sesi pendengaran sejak 17 Mei sehingga hari ini.
Selain itu, katanya JPP telah menerima laporan, aduan dan bantahan daripada anggota Cabang-Cabang tertentu yang mengadu tentang kehadiran orang yang bukan anggota parti yang telah menimbulkan kekecohan serta berusaha menghalang dan mensabotaj proses pengundian.
Jelasnya lagi, daripada siasatan JPP, elemen-elemen yang berusaha untuk mensabotaj Pemilihan PKR menggunakan modus operandi berikut:
i. lebih dari separuh insiden sabotaj telah berlaku selepas jam 2.30 petang
ii. pensabotaj akan merempuh masuk ke dalam dewan pengundian dan menimbulkan kekecohan
iii. sasaran pensabotaj adalah tong-tong peti undi
iv. pensabotaj terdiri daripada anggota kumpulan kongsi gelap - boleh sahkan bahawa perkara ini berlaku sewaktu proses pengundian di Cabang Kota Raja dan Kuala Langat
"Sebagai langkah keselamatan, beberapa perincian tidak akan kami umumkan untuk melindungi informan-informan yang terlibat dalam proses siasatan," jelasnya yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani.
Tambahnya, pihak JPP telah menerima banyak rakaman video tentang insiden-insiden sabotaj dan sedang meneliti untuk mengambil tindakan lanjut.
Pada masa yang sama, ujar beliau JPP meminta orang awam serta anggota parti yang mungkin mempunyai video atau rakaman kejadian-kejadian itu untuk tampil ke hadapan dan membantu pihaknya.
Katanya lagi, kesemua insiden di mana didapati berlakunya kesalahan tatatertib atau tataetika pemilihan, atau melanggar disiplin parti, akan dibawa ke perhatian Lembaga Disiplin parti untuk tindakan lanjut.
"Seperti yang semua sedia maklum, beberapa anggota telahpun dipecat dan digantung kerana melanggar tataetika atau disiplin parti," ujarnya.
Oleh itu, kata beliau proses pemilihan semula akan berlangsung bagi beberapa Cabang pada 31 Mei dan 1 Jun ini, semua anggota parti perlu ingat dan prihatin tentang tataetika pemilihan serta disiplin parti.
Jelasnya, Cabang-Cabang yang akan mengadakan proses pengundian pada 31 Mei Setiu, Kuala Nerus, Kemaman, Dungun, Jerantut, Paya Besar, Pasir Puteh dan Pengerang sementara Tenggara dan Sungai Petani pada 1 Jun.
Tambahnya, JPP akan membuat pengumuman tentang tarikh pemilihan semula yang lain dari semasa ke semasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan