HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 Mei 2014

Kalau Umno beriman kepada hudud, mereka harus laksanakannya


Keengganan Umno membentangkan usul persendirian hudud di Parlimen seperti beriman kepada solat namun tak menunaikannya.
subky latif


PETALING JAYA: Wartawan veteran, Subky Latif  (gambar) menyifatkan keengganan Umno untuk membentangkan usul persendirian penguatkuasaan hudud di Parlimen seperti beriman kepada solat namun tidak bersolat.

Ini kerana menurut Subky, Umno, yang membentuk kerajaan bersama Barisan Nasional (BN) sendiri mengakui bahawa mereka tidak menentang hudud sepanjang lebih separuh abad memerintah Malaysia.

Subkyyang juga bekas Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan berkata demikian dalam kolum mingguannya, ‘Hudud Umno macam tak solat’ yang dipaparkan dalam laman Harakahdaily.net dua hari lalu setelah menonton wacana hudud diantara Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanifa Maidin (PAS) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas Datuk Mohd Alwi Che Ahmad (Umno).

Menurut Subky, apabila Hanipa mencadangkan supaya Umno membentangkan usul persendirian hukum hudud di Parlimen, Mohd Alwi membalas PAS yang seharusnya membentangkan usul tersebut kerana belum sampai masa untuk Umno menguatkuasakannya.

“Ia mengaku beriman dengan hudud. Adakah imannya itu wajib, sunat atau harus? Jika wajib, sempurna  iman  itu apabila  dilaksanakan. Seperti solat wajib.

“Yang mengaku beriman dengan solat tapi tak solat, imannya kalau ada hanya senipis kulit bawang. Jika iman itu justeru sunat, tidaklah ia wajib tetapi lebih baik ditunaikan. Jika tidak ditunaikan, ia tiada berhajat untuk menambah imannya,” kata Subky.

Tambahnya lagi, Umno wajib melaksanakan hukum Islam itu kerana mereka membentuk kerajaan.
“Wajib hudud bagi PAS sebagai sifatnya pihak yang tidak berkuasa. Peranannya adalah menuntut supaya ia dilaksanakan. Yang berkuasa melaksanakannya ialah kerajaan. Maka wajib bagi kerajaan dan Umno sebagai yang menguasai kerajaan adalah jauh lebih wajib dari kewajipan pihak yang menutut seperti PAS dan rakyat yang lain.

Umno boleh buat kalau ia mahu buat kerana ia berkuasa dan ia merdeka. Ia bukan berstatus hamba. Seorang yang beriman dengan solat, dia merdeka, dia mesti solat. Jika ia tidak solat, dia tidak menghidupkan  iman. Jika  Umno beriman dengan hudud, imannya adalah iman wajib, jika dia tidak laksanakan imannya, dia adalah seperti orang beriman kepada solat tapi tidak solat,” tegasnya lagi.

Subky turut berkata Umno sendiri akan mendapat ganjaran yang lebih sekiranya mereka membawa usul melaksanakan hudud di Parlimen.

“Jika Umno mengaku tidak menolak hudud, tetapi tidak mahu membentang usul melaksanakan hudud, biarkan PAS saja yang membentangkannya, ia sekadar hendak menyokong saja, apa kata kalau PAS tidak berjaya membentangkannya apa yang Umno dapat? Kalau PAS dapat membentangkannya, maka Umno pun sokong, maka dapatlah Umno pahala menyokong. Tapi PAS dapat pahala lebih banyak. PAS dapat isi dan kuah, Umno dapat kuah  saja.

Kalau ia membentangnya atau ia bersama membentangnya, maka pahalanya lebih besar dari sekadar menyokong.  Tapi kalau PAS tak dapat bentang, Umno tiada peluang menyokong, tinggallah pahala untuk Umno niat menyokong. Bercadang menyokong benda yang baik dapat satu pahala. Pahala itu  sajalah  ia dapat,” jelasnya.

“Niat solat dapat satu pahala. Tunai solat dapat satu pahala lagi. Kalau niat solat tapi tidak solat, dosa tinggal solat telan pahala niat solat yang satu itu,” tambah Subky lagi.

Tiada ulasan: