Logo Halal


SHAH ALAM - Kerajaan tidak perlu takut melindungi kepentingan orang Islam dan membela nasib mereka berkaitan isu halal.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Ma'amor Othman berkata, kerajaan perlu serius dalam isu seperti ini kerana umat Islam merupakan penduduk majoriti.

“Kerajaan jangan takut. Sepatutnya apabila termaktub Islam sebagai agama persekutuan, beri perlindungan kepada kepentingan umat Islam.

“Beri kuasa kepada penguatkuasaan agama seperti Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) untuk jalankan tugas sepenuhnya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, sekarang bukan masa untuk menyalahkan sesiapa, tetapi masa untuk mencari jalan penyelesaian.

“Kerajaan perlu beri kuasa kepada Jakim, agar mereka memiliki makmal, penguatkuasaan dan pakar pemakanan sendiri dalam penilaian produk halal.

“Wujudkan akta produk halal yang bolehkan kerajaan bertegas dalam isu seperti ini supaya tidak berulang,” katanya.

Katanya, pihak yang berselindung menggunakan logo halal yang sebenarnya tidak halal boleh dikenakan tindakan di bawah perihal Perbahasaan Halal, Akta Perihal Dagangan.

“Ia dikira salah dan menipu. Namun jika sesuatu produk menggunakan semula bekas makanan haram dan dibersihkan ia tidaklah menjadi haram.

“Misalnya botol arak digunakan semula untuk diisi produk lain, ia tidak salah asal dibersihkan terlebih dahulu,” katanya.