HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Mei 2014

IKIAM hairan hanya sebuah kedai makan Melayu di KLIA2

Kenapa pengurusan Malaysia Airport Berhad (MAB) tidak memberi peluang kepada lebih ramai orang Melayu berniaga di situ  

Fakhrul Azman Abu Bakar

PETALING JAYA: Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM) hairan kerana terdapat sebuah sahaja kedai makan Melayu yang menjual makanan di Lapangan Terbang Antara Bangsa 2 (KLIA2) yang baru dibuka awal bulan ini.

Menurut Pengerusi Biro Antarabangsa IKIAM, Fakhrul Azman Abu Bakar (gambar)  hanya kedai Dapur Nusantara sahaja kepunyaan Melayu yang menjual makanan Melayu yang halal.

“Kenapa pengurusan Malaysia Airport Berhad (MAB) tidak memberi peluang kepada lebih ramai orang Melayu berniaga di situ sedangkan 90 peratus pengurusan MAB dimonopoli oleh orang Melayu?” katanya kepada FMT.

Beliau mendakwa ada juga kedai makan yang memperalatkan pekerja Melayu sedangkan tiada logo halal dipamerkan di kedai tersebut.

IMG-20140526-WA021

“Saya juga dapati imej Islam dan budaya Melayu tidak kelihatan di KLIA2 sedangkan kita sebuah negara Islam. Nampak sangat MAB tidak peka dengan budaya Melayu dan Islam,” tambahnya lagi.

Fakhrul juga berkata oleh kerana KLIA2 adalah pintu masuk utama ke negara ini maka sewajarlah ia dijaga oleh pengawal keselamatan tempatan dan bukannya pengawal keselamatan orang asing kerana seolah-olah kita berada di luar negara.

Beliau juga dapati KLIA2 kurang mesra golongan veteran.

“Saya cadangkan lebih banyak walkalator diadakan untuk memudahkan orang berumur berjalan dan tempat pertanyaan juga perlu ditambah lagi,” katanya lagi.

Beliau juga mencadangkan supaya kakitangan imigeresen di KLIA2 ditempatkan menurut nisbah pelancong luar yang menggunakan lapangan terbang tersebut supaya tidak berlaku ketirisan warga asing memasuki negara ini.

“Saya juga hairan kos parkir di KLIA2 lebih mahal dari kos parkir di KLIA, di mana saya difahamkan MAB berpakat dengan sebuah syarikat swasta yang mana sebenarnya adalah tidak perlu,” dakwanya lagi.

Tiada ulasan: