Jakim


PUTRAJAYA - Produk tempatan dengan sijil pengesahan Halal Malaysia yang mempunyai 'kod E' boleh digunakan tanpa waswas, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha.

Beliau berkata tidak semua produk makanan yang mempunyai kod atau nombor 'E' mengandungi bahan daripada sumber yang haram.
  
Kod E ialah kod untuk bahan tambah (aditif) dan selalu diguna pada label makanan di negara Kesatuan Eropah yang merujuk kepada bahan aditif yang dibenarkan, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
  
Kod E lazimnya dikaitkan mengandungi bahan bersumberkan khinzir.
  
Menurut Othman, nombor E diguna pada label produk makanan di Australia, New Zealand, Amerika Utara terutama Kanada, dan Israel.
  
Skim penomboran itu adalah mengikut sistem penomboran antarabangsa yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Codex Alimentarius, katanya.
  
Beliau berkata penomboran itu adalah koleksi pelbagai standard, kod amalan, panduan antarabangsa yang diiktiraf berkaitan dengan makanan, pemprosesan makanan dan keselamatan makanan bertujuan menjaga kesihatan manusia dan memastikan kod perdagangan yang beretika dijalankan.
  
Bahan Aditif mengikut nombor E:
  
    E100 - E199    - Warna
    E200 - E299    - Pengawet
    E300 - E399    - Oksidan, Fosfat, Antioksida dan Pengawal Asid
    E400 - E499    - Pemekat, Pelembap, Penstabil dan Emulsifier
    E500 - E599    - Garam, Regulator Asid dan agen penghalang kerak
    E600 - E699    - Penambah perisa
    E900 - E999    - Pemanis dan bahan-bahan lain
    E1000- E1999    - Bahan Kimia Tambahan
  
"Tidak semua nombor E yang digunakan untuk membuat sesuatu produk makanan berasaskan daripada sumber yang haram. Bahan-bahan aditif ini boleh bersumberkan tumbuhan, sintetik, mikrob, semula jadi, kimia dan haiwan," katanya.
  
Othman berkata contoh kod E yang paling kerap menjadi persoalan ialah E471, yang merupakan sejenis pengemulsi iaitu mono dan digliserida.
  
Sumbernya ialah lemak sintetik yang terhasil daripada gliserol dan asidlemak semula jadi terutamanya dalam tumbuhan contohnya minyak kelapa sawit atau lemak haiwan, kata Othman.
  
Ramuan itu secara umumnya ialah sebatian pelbagai bahan dengan kandungannya hampir sama dengan lemak semula jadi yang boleh dihadam.
  
Bagaimanapun Othman menasihati pengguna Islam agar berhati-hati dengan produk mempunyai kod E  tanpa sijil Halal Malaysia yang tidak dibuat di negara ini.
  
"Orang ramai harus peka mengenai jenis aditif makanan dan tahap kandungan yang dibenarkan untuk digunakan dalam sesuatu produk makanan," katanya yang turut menggesa pihak industri agar lebih bertanggungjawab dan mengenal pasti sumber aditif yang diguna agar tidak menimbulkan keraguan pengguna Islam.
   
Dalam pada itu, Jakim menerusi Bahagian Hab Halal akan memastikan syarikat yang memohon sijil halal wajib mengisytihar kesemua ramuan termasuk menyertakan dokumen kukuh mengenai status halal aditif yang digunakan dalam produk makanan mereka. - Bernama