TELUK INTAN: DAP meletakkan sasaran empat agenda utama dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan.
Calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud melancarkan manifesto tersebut pada sidang media di Bilik Gerakan DAP di Bandar Baharu sebentar tadi.
Jelas Dyana, manifesto ini dibentuk dari hasil pandangan yang diambil dari 400 pengundi Teluk Intan dari segenap lapisan masyarakat di kampung mahupun di bandar.
"Sebelum memulakan kempen PRK ini, kami telah menjalankan sebuah kajian tinjauan bebas dan hasil dari tinjuan tersebut menunjukkan hampir 60 peratus penduduk Teluk Intan mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 sebulan.
"Ia lebih rendah daripada purata minima kebangsaan yang berasa pada tahap RM4,025," jelasnya.
Tambah beliau, empat agenda tersebut meliputi kos sara hidup, tadbir urus bersih, pembangunan anak muda dan pemerkasaan wanita.
"Dalam agenda kos sara hidup kita melihat bebanan rakyat dari dasar-dasar yang dilaksanakan kerajaan, kita akan melawan dasar kerajaan yang membebankan rakyat seperti cukai GST.
"Selain itu juga kita akan memastikan perbelanjaan negara diurus dengan lebih berhemah," katanya.
Menurut beliau lagi, bagi memastikan tadbir urus yang lebih bersih, beliau akan memastikan isu rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pembaziran wang negara dapat ditangani sepertimana pentadbiran bersih dari Kerajaan Pakatan Rakyat.
"Kita melihat lebih 70 peratus rakyat Malaysia berusia kurang daripada 40 tahun dan ini bermaksud Malaysia mempunyai tenaga kerja yang muda.
"Kebanyakan anak muda Teluk Intan terpaksa mencari rezeki di luar dan ia berlaku atas dua faktor utama iaitu dasar kerajaan yang memusatkan pembangunan di Lembah Klang termasuk kurangnya peluang pekerjaan dan latihan," sambung beliau.
Dyana akan turut memperjuangkan hak kaum wanita dalam memastikan sebanyak 30 peratus di parlimen serta jawatan utama dalam sektor swasta dan kerajaan menjadi milik wanita.
"Sekiranya saya mendapat peluang untuk mewakili rakyat Teluk Intan di Parlimen, saya berjanji untuk menetap di Teluk Intan dan menjaga amanat sebagai duta pekan ini untuk kepentingan rakyat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan