HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Mei 2014

Undi saya bermakna hantar lima mesej kepada BN, kata Dyana Sofya

OLEH ANISAH SHUKRY


Calon DAP bagi Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud bersama ahli Pakatan Rakyat semasa kempen DAP untuk Pilihan Raya Kecil Teluk Intan di Taman Industri Anson semalam. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 27 Mei, 2014. Calon DAP bagi Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud bersama ahli Pakatan Rakyat semasa kempen DAP untuk Pilihan Raya Kecil Teluk Intan di Taman Industri Anson semalam. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim.  



Dyana Sofya Mohd Daud berkata semalam, satu undi untuknya pada Pilihan Raya Kecil (BN) Teluk Intan Sabtu ini bermakna menghantar lima mesej kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Calon DAP itu berucap di hadapan 3,000 hadirin di Taman Industri Anson, Teluk Intan, mengatakan undi untuknya akan memberitahu BN bahawa mereka menolak kenaikan harga barang.

"Kami menentang kenaikan harga barang. Sebelum pilihan raya umum, mereka janjikan pelbagai perkara, namun kini semua janji tersebut dilupakan. (Harga) elektrik sudah meningkat, petrol sudah meningkat, gula juga meningkat.

"Tetapi gaji masih belum meningkat, walaupun tekanan darah kami meningkat tinggi. Kami menentang kenaikan harga barang," katanya.

Dyana Sofya berkata mengundi  DAP menunjukkan kepada BN bahawa mereka juga menolak politik perkauman, sambil mengatakan kerajaan memerintah itu sering menggunakan isu kaum untuk memecah-belahkan rakyat.

"Saya tidak tahu mengapa mereka tetap cuba untuk memecah-belahkan kita. Sebagai kerajaan mereka sepatutnya menyatukan kita," kata Dyana Sofya.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata semalam bahawa kaum Cina 'tidak bersyukur' kerana mengundi DAP pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tahun lepas.

Beliau berkata peniaga Cina dan ahli perniagaan terhutang budi kepada orang Melayu dan India kerana perniagaan mereka berkembang.

Namun apabila sudah kaya, mereka mengundi DAP berbanding BN, kata Zahid.

Dyana Sofya berkata, "Jika mereka (BN) hendak bermain politik perkauman, silakan. Rakyat masih boleh menentang politik perkauman mereka."

Mesej ketiga, kata Dyana Sofya, adalah pengundi menolak keganasan politik dan budaya samseng kerana sering diganggu penyokong BN sejak mula berkempen.

"Sebelum ini, kami datang berkempen dan mereka membuat kacau, dan tidak membenarkan kami berjumpa dengan orang tempatan dan pengundi. Mereka ingin menghalang kami."

Minggu lepas, beberapa samseng menghalakan ekzos motosikal ke arah Dyana Sofya semasa beliau berjumpa pengundi. Mereka juga menekan enjin motosikal dengan kuat untuk menenggelamkan suara beliau.

Mesej keempat adalah kita akan memberi pengiktirafan kepada wanita dan meningkatkan bilangan wanita dalam Parlimen. Teluk Intan belum pernah lagi mempunyai wakil wanita, ini mungkin kali pertama.

"Akhir sekali, kita mesti menghantar suara anak muda ke Parlimen. Jadi kita mempunyai lima mesej khas untuk kerajaan Umno -BN dengan mengundi saya."

Beliau juga berjanji kepada pengundi akan membangkitkan isu tempatan di Parlimen, termasuklah kes sebuah sekolah yang dijanjikan akan dibina BN pada 2012 di Kampung Bahagia dengan peruntukan RM27 juta.

"Mereka katakan ia akan siap tahun ini, tetapi saya pergi melihat tapak tersebut dan tiada papan tanda pun di sana. Jangan katakan lebuh raya bernilai RM5 bilion, mereka hendak menunaikan janji RM27 juta untuk sebuah sekolah juga sudah sukar," kata Dyana Sofya.

Beliau merujuk kepada Lebuhraya Pantai Barat yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad yang dikatakannya akan menjana pertumbuhan besar kepada Teluk Intan apabila lengkap.

"Jika saya diberikan mandat, saya berjanji akan bekerja keras untuk Teluk Intan. Jika saya bekerja untuk diri sendiri, mungkin lima jam sudah mencukupi. Tetapi saya akan bekerja 24 jam untuk penduduk Teluk Intan," kata Dyana Sofya.

Kemudian, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata dalam ceramah yang sama bahawa penduduk Teluk Intan akan mendapat 'manfaat dua kali ganda' dengan mengundi Dyana Sofya.

Beliau berkata jika Dyana Sofya menang Sabtu ini, beliau akan menjadi ahli Parlimen yang paling muda mewakili kebajikan mereka, sementara lawannya, calon BN Datuk Mah Siew Keong hanya akan menjadi menteri 'pintu belakang'.

"Sebagai menteri, Mah akan berupaya menunaikan janji dalam manifestonya, manakala kita akan mempunyai Dyana Sofya sebagai ahli Parlimen untuk memerhatikannya," katanya kepada hadirin.

Mah mendedahkan manifestonya semalam dan antara janjinya adalah untuk menjadikan Menara Condong Teluk Intan sebagai tapak World Heritage Site Unesco dan membina stadium sukan dan universiti di kawasan tersebut.

Tiada ulasan: