HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 Mei 2014

Bank Negara harus siasat skandal pinjaman babitkan menteri

HARAKAHDAILY


 


KUALA LUMPUR: Sikap Bank Negara yang membisu terhadap skandal pinjaman RM32 juta Bank Rakyat memperlihatkan kurangnya komitmen Perdana Menteri terhadap prinsip-prinsip akauntabiliti dan integriti yang amat diperlukan demi membentuk sistem kewangan yang baik, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Guan Eng (gambar) yang juga Ahli Parlimen Bagan turut mempersoalkan kredibiliti dan integriti Bank Negara dalam memastikan sistem kewangan yang baik dan boleh dipercayai apabila pinjaman diberikan semata-mata atas dasar naungan politik dan pemberian wang.

Bekas Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Sabbaruddin Chik dalam satu wawancara baru-baru ini mendedahkan keengganan seorang menteri untuk menandatangani surat melanjutkan tempoh perkhidmatan beliau sebagai pengerusi Bank Rakyat kerana keengganannya bersetuju dengan skim pembayaran semula pinjaman RM32 juta tanpa faedah oleh seorang peniaga yang mempunyai hubungan dengan tokoh politik berpengaruh.

Sambil menyifatkan tindakan menteri tersebut sebagai satu penyalahgunaan kuasa dan berunsur korupsi, Guan Eng berkata, Bank Negara sewajarnya melancarkan siasatan penuh bagi mempertahankan kredibiliti dan integritinya sebagai pengawal selia profesional kepentingan awam, dan bukannya kepentingan peribadi dan politik kroni dan pemimpin BN.

"Bank Negara juga harus jujur dan memperhitungkan kesemua perjanjian mudah dan pemberian pinjaman mega kepada VIP yang mempunyai kedudukan kewangan yang meragukan.

"Kegagalan berbuat demikian hanya menunjukkan bahawa pemimpin BN menguruskan negara bukan untuk kebaikan orang ramai tetapi demi faedah kroni," tegas beliau.

Sabbaruddin seperti dilaporkan The Malaysian Insider mendakwa lembaga pengarah Bank Rakyat pada awalnya menolak tawaran pembayaran semula tanpa faedah bagi tempoh 10 tahun terhadap pinjaman bernilai RM32 juta kepada ahli perniagaan Deepak Jaikishan.

Bagaimana pun pembayaran semula melalui 120 cek tunda itu terpaksa diterima pengurusan Bank Rakyat berikutan campurtangan politik Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Hasan Malek (gambar).

Sabbaruddin berkata, tempoh pembayaran semula sepuluh tahun tanpa dikenakan faedah itu akan mengakibatkan Bank Rakyat mengalami kerugian.

"Adakah pilihan pembayaran semula tanpa faedah ini turut tersedia untuk rakyat biasa yang meminjam dari bank?

"Adakah Hasan Malek akan melakukan campurtangan politik bagi pihak peminjam biasa untuk membenarkan pembayaran semula tanpa faedah dalam tempoh sepuluh tahun?" soal Guan Eng.

Tiada ulasan: