MALAYSIAKINI
Walaupun dianggap menipu, kontroversi sekitar keanggotaan ibunya dalam
PERKASA nampaknya tidak akan menjejaskan peluang calon DAP Dyana Sofya
Mohd Daud dalam pilihan raya kecil Teluk Intan.
Kewibawaan Dyana mungkin sedikit tercalar, bagaimanapun dengan hanya
tiga hari sebelum pengundian, kesannya mungkin tidak banyak menjejaskan
sokongan pada peguam muda itu.
Malah, sesetengah pengundi masih tidak tahu menahu tentang isu itu.
Terdapat juga pengundi yang menganggap perkara itu tiada kena mengena dengan Dyana.
“Siapa yang bertanding? Dyana atau ibunya?” soal seorang pemilih.
Masih ramai juga yang mengambil berat berhubung masalah setempat dan
membangkitkan persoalan sama ada Dyana akan tinggal di Teluk Intan jika
menang.
Mereka juga mengambil kira calon mana yang akan membawa pembangunan ke kawasan itu.
Seorang pemilih Tan Chee How memberitahu Malaysiakini, isu
PERKASA tidak akan menjejaskan pendiriannya dan beliau juga percaya
Dyana tidak berbohong, tetapi cuma tidak berpengalaman berdepan dengan
media.
Justeru, juruteknik penyaman udara 30 tahun itu berkata, ia dimaafkan.
“Beliau perlukan seseorang membantunya menjawab soalan, ini mungkin berlaku kerana beliau tidak berpengalaman.
“Saya rasa ia cuma kesilapan tanpa niat,” katanya ketika ditemui di Taman Rose, Teluk Intan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan