KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah pemimpin Umno yang paling kerap dan rajin turun berkempen di Teluk Intan.
Keadaan itu bukan saja disebabkan kedudukannya sebagai pemimpin kanan Umno yang mahu memastikan kemenangan calon BN, Mah Siew Keong tetapi mungkin juga disebabkan kawasan Parlimen yang diwakilinya, Bagan Datoh adalah bersebelahan dengan Teluk Intan.
“Ahmad Zahid juga paling banyak program serta paling banyak bercakap dengan media. Dalam masa yang sama, beliau juga paling banyak mengeluarkan kenyataan sensasi dan kontroversi di Teluk Intan ini,” tulis Shahbudin Husin di dalam blognya.
Menurutnya, Zahid bercakap mengenai anggota Rela yang tidak mengundi dalam pilihanraya umum lalu dan memberi amaran agar menunaikan tanggungjawab kali ini kerana mendakwa beliau tahu siapa mereka itu.
Beliau menambah, Zahid juga menawarkan janji memberi uniform baru kepada anggota Rela jika calon BN menang dalam pilihanraya kecil ini tetapi jika BN kalah, "belilah sendiri".
Ketika semua media dan jentera kempen banyak memperkatakan calon DAP, Dyana Sofya yang dianggap cantik dan muda, berbeza dengan calon BN, Mah Siew Keong yang dianggap agak tua dan kitar semula, Ahmad Zahid juga berkata, "Dyana Sofya bukanlah cantik sangat. Dia hanya cantik dalam gambar dan cantik sikit ketika muncul dalam televisyen tapi tidaklah cantik sangat secara realitinya".
Mengenai pengundi Cina pula, ulasnya lagi Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno melabelkan mereka sebagai golongan yang tidak bersyukur dan gembira jika calon BN kalah kerana mereka adalah golongan kaya dan mempunyai pelbagai jenis perniagaan.
Semalam pula, Zahid sekali lagi menimbulkan sensasi dengan memberi amaran kepada golongan kongsi gelap dan penjenayah agar tidak mengambil kesempatan sepanjang kempen pilihanraya kecil Teluk Intan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan