Nina Iskandar  
Nina Iskandar


SHAH ALAM - Pelakon baharu yang berasal dari Brunei Darussalam, Nina Iskandar mengakui bahawa antara sebab dia mula menutup aurat dan mengenakan tudung adalah kerana menghormati pelaksanaan hukum hudud di negara asalnya.

Memetik laporan sebuah portal, Nina, 23, bagaimanapun berkata, perubahan tersebut bukanlah semata-mata  kerana pelaksanaan hudud di negaranya, tetapi beliau ikhlas daripada hatinya dan memang berhasrat untuk memakai tudung sebelum ini lagi.

"Brunei telah melaksanakan undang-undang syariah dan hudud, jadi sebagai rakyat dan wanita beragama Islam saya mahu membawa imej negara saya atas rasa hormat yang mendalam.

"Bagaimanapun perubahan saya ini bukan semata-mata kerana undang-undang baharu itu tetapi ia ikhlas dan datang daripada hati sendiri," jelasnya.

Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah pada awal Mei mengumumkan baginda akan meneruskan pelaksanaan hukum hudud biarpun mendapat kritikan di negara itu dan peringkat antarabangsa.

Fasa permulaan undang-undang itu berkuat kuasa secara rasmi dengan fasa kedua termasuk hukuman lebih ketat, termasuk potong tangan bagi kesalahan kecurian dan rompakan, yang akan dimulakan lewat tahun ini.

Sementara kesalahan termasuk liwat dan zina akan dikenakan hukuman direjam sampai mati pada fasa ketiga.