HALAMAN SANTAI
Rabu, 28 Mei 2014
Jihad NGO Islam terhadap Cadbury jadi perhatian media antarabangsa
Tindakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam mengisytiharkan jihad terhadap Cadbury selepas dua produknya coklatnya dikesan mengandungi DNA babi menjadi perhatian media antarabangsa.
Pada sidang media di Kuala Lumpur semalam, akhbar United Kingdom (UK) The Daily Telegraph melaporkan NGO Islam berkenaan mendakwa Cadbury melampaui batas.
"Mereka mengkhianati orang Islam dengan meletakkan unsur haram dalam makanan pengguna," kata pemimpin Perkasa, Abu Bakar Yahya, seperti dilapor The Daily Telegraph.
Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Nadzim Johan menggesa kilang Cadbury ditutup dan menyeru semua orang Islam memboikot produk coklat itu.
Manakala Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid), Masridzi Sat turut menyeru jihad terhadap syarikat pengeluar makanan ringan itu kerana cuba melemahkan orang Islam di Malaysia.
"Jika seseorang makan babi akibatnya susah hendak bimbing kembali ke pangkal jalan yang benar.
"Bila tibanya hari akhirat, bentuk muka orang itu akan menjadi babi kerana makanan yang diambil.
"Kita mesti bersatu dan isytihar jihad," katanya.
Syarikat itu bagaimanapun menjamin bertanggungjawab memeriksa semula bekalan produk makanannya bagi memastikan standard halal dipenuhi sementara kerajaan Malaysia mengendalikan pemeriksaan ke atas semua produk Cadbury Malaysia.
Hasil ujian Kementerian Kesihatan semasa pemeriksaan kandungan tidak halal dalam produk makanan mendapati wujudnya DNA 'porcine' dalam coklat Cadbury Dairy Milk Hazelnut dan Cadbury Milk Roast Almond.
Hari ini, bekas Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyatakan kekesalannya dengan sesetengah umat Islam di negara yang terlalu kisahkan mengenai keharaman babi tetapi mendiamkan diri dengan dosa lebih besar seperti rasuah.
Beliau berkata, masyakarat Islam seperti tidak menyedari dosa dan mudarat dalam perkara yang jelas haram seperti riba dan rasuah adalah lebih besar daripada makan babi.
"Malangnya, kita tidak pula bising habis-habisan bagi perkara jelas haram seperti riba, korupsi, salah guna harta awam dan seumpamanya.
"Inilah fahaman Islam yang hanya terasa haram babi tetapi tidak terasa haram judi, riba dan rasuah sedangkan dosa dan mudarat semua itu lebih besar," katanya dalam tulisannya di Facebook hari ini.
Selain itu, katanya, umat Islam yang termakan makanan haram tanpa sengaja tidak dikira berdosa malah Allah juga tidak akan menghukum seseorang itu atas perkara luar daripada maklumat dan kemampuannya.
Cadbury Malaysia, seperti pengeluar makanan lain di negara yang mempunyai 60% populasi penduduk beragama Islam, memperoleh sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang melarang kandungan babi dalam setiap produk mengikut ketetapan Islam.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan