SHAH ALAM: Masa depan agenda 'Langkah Kajang' yang dibangkitkan PKR
pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang baru-baru
ini, akan ditentukan selepas pemilihan parti itu selesai.
Ketua Penerangan PKR Selangor Shuhaimi Shafie berkata, setakat ini
tiada sebarang perkembangan baru mengenai perkara tersebut kerana
tumpuan kini diberikan kepada pemilihan PKR 2014 yang proses undiannya
masih belum tamat.
"Kita lepaskan dulu pemilihan (PKR).
"Kita lepaskan dulu pemilihan parti nanti kita lihat semula," kata ADUN Sri Muda itu kepada Antarapos.
Proses pemilihan PKR kali ini tercemar dengan pelbagai insiden
kekecohan serta masalah teknikal didakwa berpunca daripada penipuan dan
manipulasi undi, memperlihatkan banyak cabang terutamanya di Selangor
terpaksa diadakan undian semula.
Sementara 'Langkah Kajang' yang diperkenalkan PKR dilihat tiada
perkembangan walaupun dikatakan agenda itu antara lain untuk menjadikan
Selangor sebagai batu loncatan mengambil alih pentadbiran pusat pada
pilihan raya umum akan datang.
Pelaksanaan Langkah Kajang ialah melakukan perubahan jawatan Menteri Besar yang kini disandang Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Untuk rekod, Minggu terakhir pemilihan PKR menyaksikan Azmin Ali terus
mendahului pencabarnya untuk kerusi timbalan presiden, apabila
memperolehi 12,250 undi.
Pencabar terdekatnya, Abdul Khalid hanya mendapat 8,123 undi sementara
seorang lagi pencabarnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail sekadar
mengutip 6,997 sahaja.
Bagi jawatan naib presiden PKR pula Nurul Izzah Anwar (16,698 undi),
Rafizi Ramli (12,690) dan Tian Chua (14,798) terus mengungguli undian
meninggalkan lima pesaingnya yang lain.
Bagaimanapun, keputusan itu tidak merangkumi jumlah undian 27 Cabang
PKR lain yang dibatalkan sebelum ini atas pelbagai alasan termasuk
kekecohan, pergaduhan, dakwaan sabotaj dan lain-lain.
Pemilihan PKR yang memasuki minggu terakhir ini dijangkakan menyaksikan lebih banyak kontroversi bakal berlaku.
Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengakui kelemahan proses pemilihan PKR
2014 termasuk insiden kekerasan dan gangsterisme yang berlaku di
beberapa cabang.
Mendakwa perbuatan itu juga dilakukan orang luar dan bukannya ahli
parti, Anwar berjanji mendedahkan bukti dalam bentuk rakaman video
kepada umum setelah selesai proses siasatan Jawatankuasa Pemilihan Pusat
(JPP).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan