PUTRAJAYA - Muzakarah Jenayah Syariah Kebangsaan anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadiem) hari ini bukanlah pentas 'politik melulu' sebaliknya sebagai platform ilmiah dalam usaha memberi kefahaman kepada orang ramai tentang pelaksanaan hudud yang menjadi polemik sejak mutakhir ini.
Yang DiPertuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perbahasan sebegitu wajar dilakukan untuk memulihkan imej Islam di mata masyarakat umum susulan perdebatan tidak sihat khususnya ahli politik yang sedikit sebanyak menimbulkan persepsi negatif.
"Kita merasakan perbahasan mengenainya (hudud) berada di luar landasan Islam yang sebenar, ia bercorak kepada sentimen politik dan perbahasan tidak sihat menyebabkan timbulnya banyak fitnah serta persepsi negatif terhadap Islam itu sendiri.
"Himpunan cendikiawan, ulama, pakar perundangan Perlembagaan itu membincangkan hudud berdasarkan kertas kerja penyelidikan agar masyarakat faham kedudukan hudud dalam jenayah Syariah," katanya pada Muzakarah Jenayah Syariah Kebangsaan bertajuk: Hudud di Malaysia, Peluang, Cabaran dan Halangan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Asyraf menambah, menerusi muzakarah itu, model jenayah Syariah di Kelantan dan luar negara juga akan dibentang dan dinilai untuk dijadikan garis panduan penambahbaikan kelemahan undang-undang jenayah Syariah sedia ada.
"Dengan cara ini kita boleh mengambil pengajaran apakah lompong-lompong yang perlu diisi sekiranya hendak dilaksanakan jenayah syariah ini.
"Akhirnya perbincangan ini lebih sihat dan kita dapat merencanakan suatu pendekatan lebih positif ke arah melaksanakan jenayah syariah secara sempurna," katanya lagi.
Turut sama pada muzakarah termasuk wakil parti politik seperti Exco Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan; Exco Pemuda Umno, Dr Fathul Bari Mat Jahaya dan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Namun, wakil dari DAP, Ahli Parlimen Kepong, Tan Seng Giaw pula membatalkan kehadiran beliau di saat akhir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan