HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 Mei 2014

Orang Asli dakwa tanah diceroboh syarikat luar

Oleh Mohd Farhan Darwis


Laporan polis yang dibuat oleh Tok Batin Kampung Orang Asli Sg Kelubi, Hulu Selangor yang mendakwa tanah mereka diceroboh. – Gambar The Malaysian Insider, 29 Mei, 2014.Laporan polis yang dibuat oleh Tok Batin Kampung Orang Asli Sg Kelubi, Hulu Selangor yang mendakwa tanah mereka diceroboh. – Gambar The Malaysian Insider, Penduduk Orang Asli dari Kampung Orang Asli Sg Kelubi, Hulu Selangor mendakwa tanah pertanian kelapa sawit yang diusahakan mereka selama 20 tahun diceroboh syarikat asing untuk dijadikan kawasan tanaman sayur.

Mor Ajani, 34, berkata kepada The Malaysian Insider, syarikat berkenaan dengan bantuan kakitangan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) Hulu Selangor menipu 10 pemilik tanah membabitkan kawasan seluas 20 ekar untuk menyerahkan tanah mereka kepada syarikat pertanian tersebut.

"Kita tidak tahu berapa jumlah pampasan yang diberikan kepada pemilik tanah. Kami diberitahu syarikat itu hanya membayar pampasan untuk setiap pokok kelapa sawit yang akan ditebang untuk tanam sayur," katanya.

Mor berkata, Ketua Kampung Orang Asli berkenaan, Tok Batin Mek Asang membuat laporan polis di Balai Polis Rawang pada Januari lalu bagi memaklumkan pencerobohan tersebut.

Selain itu, Tok Batin turut menghantar surat bantahan pencerobohan tanah mereka kepada pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong pada Januari untuk memaklumkan perkara itu.

"Tetapi sampai sekarang tiada sebarang susulan dilakukan terhadap aduan kami," kata Mor.

Cubaan The Malaysian Insider untuk menghubungi Tok Batin berkenaan bagaimanapun gagal.

Dokumen yang diperolehi The Malaysian Insider menunjukkan surat persetujuan pemilik tanah menyerahkan tanah mereka kepada syarikat dari Tanjung Karang, Selangor untuk dijadikan kawasan pertanian.

Dokumen berkenaan menyatakan persetujuan pemilik tanah menyerahkan tanah mereka untuk dibersihkan syarikat terbabit tanpa menyatakan jumlah saguhati yang diberikan.

"Kami dengan ini bersetuju untuk memberi kebenaran pada pihak tuan untuk membersihkan kawasan tersebut dan kami juga bersetuju dengan bayaran saguhati yang pihak tuan berikan."

Dokumen berkenaan turut menyatakan pemilik tanah tidak lagi boleh membuat sebarang tuntutan tambahan kepada pihak syarikat.

"Dan kami yang bertandatangan di atas ini dengan ini berjanji dan bersetuju sepenuhnya tidak akan membuat apa-apa tuntutan lagi kepada pihak tuan yang mengusahakan projek tanaman berkelompok di lot 2996 dan 3487 di sebelah kawasan Orang Asli Sg Kelubi, Mukim Serendah selepas ini."

Dokumen berkenaan ditandatangani pengusaha projek dan Pegawai Kemajuan Orang Asli Daerah Hulu Selangor, Mt Said Awang.

Pengarah JKAO Selangor/Wilayah Persekutuan, Bakar Yunus yang dihubungi The Malaysian Insider berkata pihaknya belum dimaklumkan berhubung perkara itu dan akan segera menyiasat dakwaan berkenaan.

"Saya baru dapat tahu cerita ini, dan saya perlu semak dakwaan ini dengan kakitangan saya di sana.
"Kita perlu lihat sama ada kawasan tanah itu sudah diwartakan sebagai milik Orang Asli ataupun tidak," katanya.

Tiada ulasan: