HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 Mei 2014

Pilihan raya di Teluk Intan paling kotor, kata calon BN

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK


Calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan Datuk Mah Siew Keong mengalami pengalaman pahit dan terpaksa berdepan dengan kempen kotor. – Gambar fail The Malaysian Insider, 29 Mei, 2014.Calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan Datuk Mah Siew Keong mengalami pengalaman pahit dan terpaksa berdepan dengan kempen kotor. – Gambar fail The Malaysian Insider.



Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan merupakan pilihan raya paling kotor kerana banyak provokasi dan fitnah yang disebarkan oleh pihak lawan, kata Datuk Mah Siew Keong.

Calon Barisan Nasional (BN) itu berkata, sepanjang pengalamannya menyertai pilihan raya sejak 1995, PRK Teluk Intan memberi pengalaman pahit dan terpaksa berdepan dengan kempen kotor.

“Saya menyertai pilihan raya sejak 1995 tetapi tidak pernah merasai pengalaman pilihan raya seperti ini sebelumnya. Semua pengalaman sebelum ini adalah pengalaman yang baik.

“Dua pilihan raya lepas apabila saya berdepan Manogaran dan mendiang Seah Leong Peeng, ia berlaku dalam keadaan aman tanpa provokasi. Tetapi kali ini pilihan raya sangat kotor di Teluk Intan,” katanya dalam sidang media di Pusat Operasi Gerakan di Teluk Intan hari ini.

Mah pada minggu lalu berkata, posternya disembur dengan cat hitam di Jalan Changkat Jong namun masih menasihatkan jenteranya agar menjaga etika kempen.

Katanya, BN berpeluang memburuk-burukkan calon parti lawan apabila banyak menerima bahan untuk memburuk-burukkan mereka tetapi tidak akan berbuat demikian.

Dalam sidang media hari ini, Mah berkata beliau dan Dyana pada hari pertama kempen bersetuju untuk tidak mengggunakan taktik kotor tetapi ternyata ia tidak menjadi kenyataan.

Katanya, DAP mahu mengubah landskap politik di Teluk Intan tetapi apa yang mereka lakukan hanya memberi imej buruk kepada pengundi.

“Saya agak kesal kerana hari pertama saya jumpa Dyana, kami bersetuju untuk berkempen secara bersih. Sebaliknya, tiada poster DAP yang diturunkan. Anda ingat ia usaha yang mudah? Kami ingatkan orang kami supaya tidak bertindak.

“Semua provokasi yang mereka lakukan bagi mengujakan ahli BN agar mereka melakukan sesuatu yang bodoh. Biar rakyat buat keputusan,” katanya.

Mah hari ini turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus menjayakan kempennya sejak hari pertama.

Katanya, segala kemelut di Teluk Intan akan berakhir tidak lama lagi apabila semuanya pulang ke tempat masing-masing.

“Apabila PRK tamat, mereka semua boleh pulang ke Pulau Pinang dan Johor Bahru. Jangan main semua isu ini. Teluk Intan akan kembali menjadi satu bandar yang selesa, aman dan sedia membangun,” katanya.

Tiada ulasan: