TELUK INTAN: Pakatan Rakyat menangguhkan semua aktiviti kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan pada malam ini bagi menghormati kemangkatan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
Pengarah Jawatankuasa Induk PRK Teluk Intan, Salahuddin Ayub sebaliknya berkata, jentera PAS digalakkan mengadakan majlis tahlil di surau dan masjid.
"PAS mengucapkan takziah dan berasa dukacita atas kemangkatan Sultan Perak dan sehubungan dengan itu, segala aktiviti malam ini ditangguhkan dan disambung semula esok.
"Ahli PAS digalakkan menggantikan segala aktiviti dengan majlis tahlil," katanya kepada Harakahdaily hari ini.
Pengarah Kempen DAP PRK Teluk Intan, Wong Kah Who turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan kerabat Diraja Perak di atas kemangkatan Sultan Azlan.
“Patik sekalian juga ingin mengumumkan segala aktiviti kempen DAP PRK Teluk Intan malam ini akan ditangguhkan sebagai tanda penghormatan atas kemangkatan baginda,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, calon DAP yang mewakil Pakatan Rakyat pada PRK Teluk Intan, Dyana Mohd Daud dalam satu kenyataan juga merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan kerabat Diraja Perak di atas kemangkatan Sultan Azlan.
"Patik sebagai anak negeri Perak Darul Ridzuan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan kerabat Diraja Perak di atas kemangkatan Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahulah pada hari Rabu 28 Mei 2014.
"Patik dengan dukungan pimpinan dan ahli DAP serta rakan-rakan Pakatan Rakyat berdoa agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum Paduka Seri. Semoga Allah SWT menempatkan baginda di kalangan orang soleh dan takwa.
"Patik sekalian ingin menyatakan rasa dukacita dan sedih di atas pemergian Paduka Seri yang menjadi lambang perpaduan dan persaudaraan rakyat Perak Darul Ridzuan," ujarnya.
Sultan Azlan yang mangkat kira-kira jam 1.30 petang tadi akan dimakamkan di Makam Diraja Al-Ghufran selepas solat Asar, esok. -
Tiada ulasan:
Catat Ulasan