HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 Mei 2014

Penganjur majlis sokong BN di sidang media DAP

MALAYSIAKINI


Penganjur kepada satu acara kontroversi di Teluk Intan, yang kononnya bagi mengumumkan tindakan sekumpulan anggota DAP keluar parti pada Selasa malam lalu, tampil menjelaskan duduk perkara sebenar mengenai program aneh tersebut.

Penganjur tersebut, Yusof Abdul Manaf mendakwa, majlis tersebut pada awalnya dirancang sebagai wadah untuk calon BN, Datuk Mah Siew Keong berjumpa pengundi di kawasan Taman Desa Bakti.

"Tujuan asal nak suruh Datuk Mah hadir tunjuk kewibawaan dia mesra sama rakyat tapi dia tak hadir, dia tipulah," katanya.

Beliau berasa marah apabila dimaklumkan oleh para petugas jentera kempen Mah bahawa calon BN itu tidak dapat hadir pada saat terakhir.

"Kita dah buat majlis itu untuk BN, tapi dia cakap, dia lima minit pun tak boleh (luangkan masa)," kata Yusof, 46.

Oleh yang demikian, mereka memutuskan untuk memanggil calon pihak lawan, Dyana Sofya Mohd Daud, katanya.

"Kami cakap 'khemah ini sila angkat, kami tak nak buat, kami akan panggil Dyana'," katanya yang juga timbalan pengerusi Persatuan Pemandu Kereta Sewa Jalan Selat.

Tegasnya lagi, barangan yang diagihkan kepada hadirin malam itu juga disediakan penganjur sendiri tanpa peruntukan daripada BN.

Dakwanya, tindakan itu bertujuan untuk menghantar mesej kepada Mah yang pernah menjadi MP Teluk Intan selama dua penggal tetapi hanya turun berkempen selepas MP DAP meninggal dunia.

"Kita bagi (barang), (untuk) bagi malu macam mana pihak BN, dia tak boleh bela nasib penduduk Teluk Intan.

"Sekarang ini kenapa dia muncul semula? DAP punya orang dah meninggal, kenapa dia hadir balik," tanya beliau.

Bercakap kepada Malaysiakini kemudiannya, Yusof berkata beliau juga kecewa kerana Ketua Wanita MIC, Mohana Muniandy menurutnya cuba mendabik dada sebagai orang yang bertanggungjawab menjayakan program tersebut.

Menurutnya, Dyana mendakwa demikian melalui satu wawancara dengan wartawan dalam bahasa Inggeris.

"Dia ingat saya tak faham bahasa Inggeris masa dia bercakap dengan wartawan?," kata Yusof.

Menurut Yusof lagi, beliau tiada masalah dengan kehadiran Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan kerana beliau sememangnya dijemput ke majlis pada malam itu.

Beliau muncul pada sidang media hari ini bersama seorang anggota DAP, Shanti Subramaniam yang diumumkan sebagai individu yang akan berpaling tadah kepada BN dalam majlis pada Selasa malam itu.

Shanti dalam sidang media sama menjelaskan beliau menerima baju-T BN pada malam itu kerana "takut" dengan kehadiran begitu ramai orang di sekelilingnya.

"Beliau dikelilingi ramai orang dan dia pun jadi takut," kata bekas senator DAP S Ramakrishnan yang menterjemahkan percakapan Shanti.

Tiada ulasan: