HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 Mei 2014

Fatwa termakan produk mengandungi DNA babi atau bahan tidak halal

Oleh Shuhaniza Said 
 
 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Para pengguna yang termakan dua produk Cadbury yang disahkan mengandungi DNA babi, perlu merujuk kepada fatwa mengenai kes seperti itu yang telah lama dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.
 
Keputusan fatwa yang ditandatangani oleh Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid menyatakan, hukum ke atas makanan seperti itu yang telah dimakan secara tidak sengaja adalah harus.
 
"Produk makanan atau minuman yang telah dikaji secara terperinci dan semua ramuan, kandungan dan cara pemprosesannya telah disahkan sebagai bersih, suci dan halal serta telah menjadi bahan makanan dan minuman umat Islam secara meluas, tetapi kemudiannya didapati produk tersebut mengandungi bahan-bahan najis seperti DNA babi akibat daripada pencemaran yang tidak disengajakan atau tidak disedari, maka adalah harus bagi umat Islam mengambilnya sebagai makanan atau minuman kerana kandungan asal produk tersebut adalah halal. 
 
"Bagi bahan-bahan peralatan pemprosesan yang telah melalui proses samak seperti yang ditetapkan oleh syarak dengan pemantauan/penyeliaan pihak berkuasa agama, tetapi masih lagi didapati mengandungi DNA babi, proses samak tidak perlu diulang lagi," demikian kenyataan fatwa tersebut yang bertarikh 20 Disember 2012. 
 
Perkara tersebut tercatat dalam Seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 [En. 1/2003], Jawatankuasa Fatwa bagi Negeri Selangor.
 
Ia terkandung di bawah tajuk yang menghuraikan Hukum Pencemaran Asid deoksiribonukliek (DNA) Babi pada Produk Makanan yang Disahkan Halal: Penelitian dari Aspek Sains Dalam Menentukan Kaedah Penyelesaiannya Mengikut Aspek Syarak.  
 
Fatwa itu menambah, keputusan dan ketetapan berikut diambil berdasarkan syariat Islam yang tidak membebankan manusia kepada apa yang tidak diketahui mahupun disedari mereka. 
 
"Ini berdasarkan firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud : Allah Taala 
menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu," jelas kenyataan itu.
 
Sabtu lalu, Kementerian Kesihatan mengesahkan penemuan DNA babi dalam dua sampel coklat Cadbury iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel (Cadbury Dairy Milk Hazelnut) dan Coklat Susu dengan Buah Badam (Cadbury Dairy Milk Roast Almond).
 
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kemudiannya menggantung serta merta sijil pengesahan halal dua produk keluaran Cadbury itu.
 
Ekoran daripada tindakan berkenaan, ramai pihak termasuk badan bukan kerajaan menyuarakan kemarahan mereka dan mendesak pengguna untuk memfailkan saman, selain mengeluarkan cadangan untuk membakar kilang pengeluar coklat itu.  
 
Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebelum ini juga berkata umat Islam yang tidak sengaja termakan makanan yang mengandungi unsur haram adalah tidak berdosa.

Tiada ulasan: