HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 Mei 2014

Janji tubuh universiti di Teluk Intan tidak mampu tangani masalah pekerjaan – Zairil

zairil


Roketkini


TELUK INTAN: Penambahan universiti semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pemuda-pemudi Malaysia kerana banyak graduan kini gagal mendapatkan kerja sepadan dengan kelayakan mereka.

Kelmarin, calon BN untuk Pilihanraya Kecil (PRK) Teluk Intan Dato’ Mah Siew Keong telah mendedahkan manifesto beliau yang antaranya menjanjikan penubuhan sebuah universiti di Teluk Intan jika menang.

Menurut Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Zairil Khir Johari, perkara yang lebih penting untuk ditangani kerajaan Barisan Nasional ialah masalah pengangguran di kalangan belia Malaysia yang lebih buruk berbanding negara-negara jiran.

“Menurut data terkini daripada Bank Dunia, pengangguran belia di Malaysia berada pada kadar 10.3 peratus pada tahun 2012, lebih tinggi daripada negara-negara serantau seperti Thailand (2.8 peratus), Singapura (6.7 peratus) dan malahan Jepun sewaktu kegawatan ekonomi negara itu (8 peratus),” jelas Zairil.

Selain masalah pengangguran, belia juga berdepan dengan masalah memiliki pekerjaan yang tidak sepadan dengan kelayakan.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Sri Abdul Wahid Omar menjelaskan 15.1 peratus belia Malaysia memiliki pekerjaan yang tidak sepadan dengan kelayakan mereka sebagai graduan.

“Masalah ini menjadi lebih berat jika diambil kira 70 peratus tenaga kerja kita terdiri daripada buruh kasar atau berkemahiran rendah, nisbah yang juga lebih tinggi daripada negara-negara jiran kita,” ujar Zairil.

Justeru itu, Ahli Parlimen Bukit Bendera itu menggesa kerajaan untuk memberi tumpuan kepada usaha menyesuaikan sukatan pelajaran di universiti dengan keperluan industri.

“Selain itu, kita perlu memberi tumpuan terhadap industri baru yang menawarkan ganjaran lumayan dan berasaskan pengetahuan dan tidak terus menggunakan sukatan pelaharan yang melatih bakal pekerja kita dengan kemahiran yang lapuk pada saat mereka tamat pengajian,” tambah Zairil.

Beliau mengemukakan usaha kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang yang melancarkan Information Technology Outsourcing-Business Process Outsourcing (ITO-BPO) Hub, bernilai RM3.3 bilion, sebagai contoh usaha membentuk puluhan ribu peluang pekerjaan bergaji tinggi dan berasaskan pengetahuan.

“Setakat ini saja pun Citibank, Wilmar, Air Asia, dan banyak lagi syarikat telah tertarik untuk memindahkan kemudahan bersama mereka ke Pulau Pinang.

“Citibank, misalnya, kini menggaji seribu orang pekerja tempatan yang diamanahkan untuk mengendalikan urusniaga bernilai tahunan sebanyak USD5.8 trilion,” ujar beliau. – Roketkini

Tiada ulasan: