MENGIKUTI sehari suntuk kempen calon DAP/Pakatan Rakyat untuk PRK Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud menyaksikan bagaimana beliau dalam waktu paling singkat menjadi begitu popular, begitu ramai hendak bersalaman dan mengajaknya bergambar.
Berdasarkan situasi yang telah saya saksikan itu dan mendengar pendapat orang ramai yang ditemui, saya kira, rating Dyana terus meningkat dan mempunyai potensi untuk menang.
Beberapa orang yang ditemui di Dataran Menara Condong Teluk Intan itu, membertahu saya bahawa Dyana adalah calon yang perlu diberi sokongan. Kata mereka, calon ini berpendidikan tinggi, muda, cerdas dan mampu mewakili penduduk Teluk Intan.
Calon ini disambut meriah oleh rakyat di Teluk Intan di mana-manapun beliau pergi, sama ada di kawasan Cina, di kawasan Melayu mahupun di kawasan India dan semuanya hendak bersalaman dan bergambar dengannya.
Dyana mewakili generasi baru, tetapi menariknya beliau kelihatan diterima baik oleh kalangan generasi lama yang ditemuinya, malah golongan wanita berebut-rebut bersalaman dengannya dan mengajaknya bergambar.
Jadual kempennya padat tetapi calon ini tidak kelihatan letih bahkan sentiasa mengukir senyun, kadang-kadang tertawa. Selama sehari suntuk beliau dan rombongan kempen, mengadakan lawatan jauh di pedalaman Teluk Intan hingga ke sempadan negeri Selangor.
Beliau menemui pengundi di Taman Cicerly, Markas Besar PAS Jalan Padang Tembak, beramah mesra dengan pengundi di Ulu Bernam, Estet Sungai Samak dan Kampung Sungai Samak dan beberapa tempat lagi.
Dalam ucapannya ketika bertemu dengan pengundi, Dyana mengulangi janjinya untuk berkhidmat sebaik mungkin untuk rakyat di Teluk Intan jika dipilih nanti iaitu akan mengenengahkan pelbagai masalah penduduk tempatan di situ di Dewan Rakyat.
Di samping itu akan memberi fokas kepada masalah kenaikan barang yang sangat membebankan rakyat. Masalah ini sangat besar dan rakyat benar-benar terbeban dengan kos hidup yang demikian tinggi.
Beliau juga akan mengulangi tuntutan mengenai caruman sosial wanita supaya dapat dilaksanakan seperti mana yang dinyatakan oleh Pakatan Rakyat (PR) di mana setiap isteri berhak dilindungi di bawah skim ini.
Dyana juga berkata, sekiranya terpilih sebagai wakil rakyat, apa yang ingin diperjuangkannya adalah meruntuhkan benteng pekauman yang sekian lama membelenggu rakyat Malaysia.
Politik baru yang ingin diketengahkannya, katanya, adalah politik berlandaskan dasar yang membawa pembangunan dan kebajikan rakyat.
Beliau mewakili generasi muda untuk membawa satu politik baru buat masa depan negara. Jika dipilih beliau beranji akan berusaha menentang rasuah, salah guna kuasa dan pembaziran kewangan negara.
Beliau juga mahu memperjuangkan tadbir urus yang baik bagi negara. Saya melihat dengan adanya pilihan raya kecil ini, bandar Teluk Intan tiba-tiba menjadi sibuk, restoran dan gerai makan dipenuhi orang ramai hingga pekerjanya kelihatan ‘tidak cukup’ tangan untuk melayan pelanggan. Lebih menarik lagi ialah poster gambar Dyana di mana-mana seperti turut menghiasi bandar itu, bahkan ada yang mengambil poster gambar Dyana untuk ditampal di rumah mereka.
Pemimpin Pakatan Rakyat sangat mengharapkan seberapa ramai mungkin pengundi akan turun mengundi 31 Mei ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan