Oleh Datuk Nur Jazlan Mohamed
Apa hebatnya Dyana Sofya Mohd Daud, 27, setiausaha politik Penasihat
DAP, Lim Kit Siang dan calon DAP untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk
Intan (P76) sehingga mengundang
pelbagai amarah, celaan serta fitnah daripada Umno jika dibandingkan
dengan dua ahli Parlimen DAP berbangsa Melayu yang ada sekarang iaitu
Zairil Khir Johari dan Datuk Mohamad Ariff Sabri Mohd Aziz.
Jika dibandingkan Dyana Sofya dengan Zairil dan Ariff Sabri atau nama
bloggernya, Sakmongkol AK47, Ahli Parlimen Bukit Bendera dan Ahli
Parlimen Raub ini, mempunyai pengaruh kuat Umno dalam diri masing-masing
tetapi tetap memilih untuk bertanding atas tiket parti yang sering
dilabelkan 'cauvinis' dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu.
Zairil anak kepada bekas Menteri Pelajaran, Tan Sri Khir Johari, yang
memberikan sumbangan besar dalam dunia pendidikan negara selain pernah
menjawat jawatan setiausaha agung Umno.
Manakala Ariff Sabri pula pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri
(Adun) Umno di Pulau Manis dalam Parlimen Pekan serta dipilih Datuk Seri
Najib Razak selaku ketua Umno Bahagian Pekan untuk menjawat jawatan
ketua penerangan Umno Bahagian Pekan dari 2004-2008.
Bagaimanapun, harus diakui Zairil dan Ariff Sabri tidak mengalami apa
yang dihadapi Dyana Sofya pada ketika ini, yang tiba-tiba menjadi
selebriti politik khususnya dalam media sosial sehingga satu Malaysia
mahu mengenali gadis Melayu ini. Jadi, apa hebatnya Dyana Sofya yang
ibunya, Yammy Samat pernah dipilih sebagai setiausaha Umno Bahagian Ipoh
sekitar lewat 1970-an jika dibandingkan dengan dua Ahli Parlimen DAP
yang berbangsa Melayu itu.
Adakah disebabkan Dyana Sofya atau lebih senang dengan nama panggilan
Dyana, seorang wanita muda Melayu berkelulusan Universiti Teknologi
Mara (UiTM) yang sepatutnya kukuh jati diri sebagai orang Melayu memilih
perjuangan DAP dengan konsep 'Malaysian Malaysia' menyebabkan ramai
orang Umno khususnya pucuk pimpinan parti rasa terancam.
Umno khususnya pucuk pimpinan parti tidak perlu melatah dan marah
dengan strategi DAP mencalonkan Dyana sebagai calon mereka di Teluk
Intan, jika mereka sedar ia adalah semata-mata untuk meraih sokongan
masyarakat Melayu dalam PRK P76.
Jika dikaji dengan mendalam saya amat percaya strategi DAP itu
sebenarnya, mahu menguji atau dengan kata lain 'test the water' sokongan
pengundi separa bandar yang mempunyai majoriti pengundi daripada bangsa
Cina.
Dengan seramai 60,349 pemilih berdaftar yang layak mengundi pada PRK
kali ini, dan sebanyak 23,301 atau 35.58% merupakan pengundi Melayu,
25,310 pengundi Cina (41.93%) manakala pengundi India pula 11,468 orang
atau 19.05%, DAP berhasrat untuk memecahkan 'sempadan' kaum, agama dan
gender sekali gus berusaha keras membuktikan parti berkenaan mewakili
semua kaum di Malaysia dan tidak hanya eksklusif kepada orang Cina
semata-mata.
Pada masa sama, dalam sedar atau tidak, DAP cuba membuktikan kepada
ahlinya atau rakyat Malaysia parti berkenaan sentiasa mengiktiraf bakat
politik yang ada dan mereka tidak perlu menaiki tangga dalam parti untuk
dipilih sebagai calon wakil rakyat dan diketengahkan.
Saya sebenarnya, ada terserempak dengan Dyana ketika berkempen dalam
PRU13 lalu, apabila 'bossnya' Lim Kit Siang bertanding di Parlimen
Gelang Patah yang terletak bersebelahan dengan kawasan saya iaitu
Parlimen Pulai.
Ketika itu, saya mendengar Dyana sememangnya menggunakan aset beliau
sebagai wanita muda Melayu profesional untuk menarik sokongan pengundi
Melayu Gelang Patah terutama sekali mereka yang tinggal di
kampung-kampung.
Dyana tidak segan silu menyatakan beliau adalah lulusan UiTM dan ibu
bapanya, ahli Umno tetapi beliau memilih untuk berjuang bersama DAP dan
ia menyebabkan ramai pakcik-pakcik dan makcik-makcik di kampung-kampung
di Gelang Patah yang tercengang dan kehairanan kerana bagi mereka selama
ini, DAP adalah milik kaum Cina semata-mata.
Sehingga pada satu tahap saya mendengar Dyana mengeluarkan kad
pengenalan untuk ditunjukkan kepada pengundi Melayu Gelang Patah beliau
adalah orang Melayu tetapi ahli DAP dan pemimpin pujaannya ketika ini,
adalah Lim Kit Siang.
Jadi itukah kehebatan Dyana sehingga dipilih DAP untuk menjadi calon
ahli Parlimen mereka menentang calon BN yang juga seorang Cina iaitu
Pengerusi Gerakan, Datuk Mah Siew Keong. Disebabkan Dyana seorang
Melayu, lulusan UiTM dan muda?
Jika itu kriteria yang digunakan DAP dengan mempertaruhkan Dyana,
parti itu sebenarnya, secara tidak langsung mengiktiraf kejayaan Umno
dalam melahirkan pemimpin politik Melayu berbakat.
Zairil, Ariff Sabri dan juga Dyana, sebenarnya adalah produk Umno dan
walaupun mereka memilih acuan DAP untuk perjuangan politik mereka
tetapi ketiga-tiga pemimpin Melayu DAP ini, lahirnya dalam perjuangan
Umno. Itu hakikat yang tidak boleh dinafikan DAP.
DAP terpaksa menggunakan produk Umno untuk menarik sokongan orang
Melayu serta memecahkan benteng Umno di kawasan luar bandar dengan
menggunakan semula produk Umno.
Umno juga seharusnya bertepuk tangan gembira kerana DAP mengiktiraf
peranan serta kewujudan UiTM yang ditubuhkan khusus untuk orang Melayu
walaupun selama ini, mereka menentang dasar UiTM yang tidak selari
dengan konsep 'Malaysian Malaysia'.
Parti roket itu sedar hanya produk Umno sahaja yang boleh memecahkan
stigma orang Melayu terhadap parti itu bukannya Tunku Abdul Aziz,
Zulkifli Mohd Noor dan Ahmad Ton yang sememangnya tidak pernah
menghayati perjuangan Umno.
Namun timbul juga persoalan di kalangan pemerhati politik, mengapa
Dyana tidak memilih untuk berjuang bersama PKR yang juga parti berbilang
kaum dan diterajui oleh bekas 'orang' Umno, Datuk Seri Anwar Ibrahim?
Jika diteliti, perjuangan PKR juga seakan rupa dengan DAP dan
kedua-dua parti ini, berkongsi matlamat sama iaitu menumbangkan Umno
selepas berjaya menumbangkan parti komponen BN lain seperti MCA, MIC dan
Gerakan di Malaysia Barat.
Adakah Dyana tidak yakin dengan perjuangan PKR yang sebenarnya,
ditubuhkan untuk memperjuangkan nasib seorang pemimpinnya iaitu Anwar
Ibrahim? Agaknya apa akan terjadi kepada PKR dan PAS, jika sokongan
orang Melayu kepada DAP meningkat mendadak sehingga membolehkan parti
berkenaan berdiri sendiri mendapat sokongan orang Melayu tanpa bantuan
PKR dan PAS dalam PRU akan datang.
DAP sudah membuktikan mereka sudah menunaikan janji untuk memberikan
kerusi Parlimen daripada majoriti orang Cina kepada pakatan pembangkang
dalam PRU13 lalu tetapi kegagagalan PAS dan PKR membawa kerusi orang
Melayu menyebabkan impian menawan Putrajaya berkubur.
Mungkin disebabkan itu, DAP merasakan parti berkenaan tidak boleh
berterusan menunggu PAS dan PKR yang sebenarnya, mempunyai asas
perjuangan politik yang jauh berbeza dan hanya tidur atas bantal yang
sama disebabkan keinginan menumbangkan Umno serta BN sekali gus
membentuk kerajaan Pusat baharu.
Walau apa pun teori politik terhadap Dyana dan DAP, mereka
sebenarnya, boleh berbangga kerana berjaya mengenengahkan pemimpin muda
profesional tanpa perlu mendaki tangga politik dalam parti.
Mahu tidak mahu, Umno dan BN perlu mengakui ciri ini, semakin
terhakis dalam parti dan sebab itu, berterusan menggunakan pemimpin sama
atau dengan kata lain 'recycle' walaupun, rakyat sudah menolak
kepimpinan pemimpin ini.
Suatu ketika dulu, Umno tidak ketandusan dalam mengenengahkan
pemimpin muda untuk menjadi calon wakil rakyat. Lihat sahaja Datuk Seri
Najib yang dipilih menjadi Ahli Parlimen pada usia 23 tahun,
sekurang-kurangnya Dyana masih tidak boleh menandingi rekod yang
dipegang presiden Umno ini.
Malah, arwah ayahanda saya, Tok Mat dipilih menjadi ahli Parlimen
ketika berusia 30 tahun dan inilah yang dimahukan rakyat pada masa ini,
daripada Umno dan BN dengan berterusan mengenengahkan pemimpin muda
profesional untuk mewakli parti.
Tidak lengkap rasanya jika saya tidak menyentuh mengenai strategi
kempen BN dalam PRK Teluk Intan kerana jelas terbukti sepanjang tempoh
berkempen, BN dan Umno berterusan menggunakan kaedah lama untuk
membuktikan kepada pengundi parti ini, yang terbaik berjuang demi
kepentingan rakyat. Strategi kempen yang menyatakan ahli parti DAP akan
menyertai BN dengan membuat majlis tidak lagi sesuai digunakan pada masa
kini, kerana ia jelas mudah diputarbelitkan pihak lawan.
Jika tetap mahu mengadakan majlis seperti itu, pastikanlah mereka
yang benar-benar mahu menyertai BN adalah dengan rasa ikhlas bukannya
disogokkan dengan pemberian barangan sehingga menampakkan BN berterusan
mengamalkan budaya 'gula-gula' pilihan raya.
Jika mahu memecahkan undi masyarakat Cina yang menyokong DAP bawalah
bekas-bekas pemimpin parti itu yang boleh berkempen untuk BN bagi
menerangkan mengapa pengundi dan rakyat perlu memilih BN, bukannya
dengan strategi murahan hingga menampakkan kebodohan pemimpin BN
menyusun strategi pilihan raya.
Jadi Sabtu ini, akan menjadi penentu sama ada Dyana akan mengangkat
sumpah sebagai ahli Parlimen DAP untuk menjadikan tiga ahli Parlimen DAP
berbangsa Melayu atau tidak.
Sama ada beliau menang atau kalah, ia sebenarnya bukan perkara
penting buat DAP kerana bagi mereka, PRU14 adalah paling penting dalam
usaha menawan Putrajaya dan jika Dyana menang, ia bermakna strategi
mereka mengena dalam usaha membuang stigma orang Melayu terhadap parti
berkenaan.
Yang terus tertinggal adalah Umno dan strategi baru perlu dirumus dan
digunakan dengan segera bagi menyekat kemaraan DAP ke kubu Umno di luar
bandar dan separa bandar.
Dan jika terus leka dibuai mimpi '88 kerusi PRU13' segalanya mungkin terkubur di PRU14 kelak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan