MALAYSIAKINI
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak hari ini menjelaskan bahawa notis tuntutannya terhadap Malaysiakini baru-baru ini bukan sebahagian agenda untuk menekan media.
"Saya ingin tegaskan: (tindakan) ini tidak membayangkan agenda yang lebih tersusun.
"Ia bukan sebahagian usaha menekan media; ia juga bukan cubaan untuk menutup mulut pengkritik kerajaan," katanya sewaktu merasmikan majlis anugerah media anjuran Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) 2014 di Kuala Lumpur malam ini.
Tanpa menyebut Malaysiakini, Najib berkata portal berita itu telah melanggar hadnya.
"Ada perbezaannya antara kritikan yang wajar dengan fitnah.
"Pada pandangan kumpulan peguam saya, dakwaan-dakwaan yang Malaysiakini terbitkan baru-baru ini telah melampaui batasannya. Maka, mereka menghantar notis guaman," tambahnya.
Pada 15 Mei lalu, Najib dan Umno mengancam mengambil tindakan undang-undang terhadap Malaysiakini ekoran penyiaran dua artikel yang mengumpulkan pandangan pembaca dalam isu krisis politik Terengganu.
Dalam notis tuntutan itu, firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, yang mewakili Umno dan Najib, atas kapasiti peribadinya, mendakwa dua artikel yang disiarkan pada 14 Mei mengandungi kata-kata fitnah jahat pada anak guamnya.
Peguam Datuk Muhd Hafarizam Harun merujuk dua artikel bertajuk "A case of the PM reaping what he sows" and "How much will Najib spend to keep Terengganu?".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan