HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 Mei 2014

Syed Ali perjelas kenyataan ‘Pengundi Cina tidak bersyukur’

Kenyataan pemimpin Umno telah disalahtafsir atau sengaja diputarbelitkan
Datuk-Syed-Ali-Alhabshee

PETALING JAYA: Pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan laporan berita menerusi media sosial yang memutarbelitkan kenyataan pemimpin Umno berkaitan isu kaum menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan, Sabtu ini.

Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, pihak tertentu sengaja ‘menangguk di air keruh’  bagi mencetuskan ketegangan antara kaum dan mengagalkan kemenangan BN pada PRK tersebut.

“Kita tahu ada media sosial sengaja menyelewengkan ucapan atau kenyataan pemimpin Umno termasuk menteri atau timbalan menteri supaya timbul keraguan dan kemarahan di kalangan rakan-rakan BN,” katanya dalam posting blognya yang terbaru www.umnobahagiancheras.blogspot.com.

Malah, beliau turut menyifatkan perbuatan mereka yang menggunakan laman-laman sosial termasuk blog sebagai berniat jahat dan cenderung kepada agenda pembangkang untuk menguasai PRK Teluk Intan.

“Kenyataan pemimpin Umno telah disalahtafsir atau sengaja diputarbelitkan oleh laman-laman sosial terutama yang memihak kepada agenda parti pembangkang,” ujarnya.

Beliau berkata, kadangkala kenyataan pemimpin Umno dibuat secara umum dengan mengambilkira latar belakang politik di satu-satu kawasan.

Sebagai contohnya kata Syed Ali, ucapan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Ahamd Zahid Hamidi di Teluk Intan sengaja diputarbelitkan seolah-olah Umno  mengamalkan politik perkauman.

Syed Ali berkata demikian bagi mempertahankan kenyataan Zahid yang sebelum ini dilaporkan berkata ‘pengundi Cina tidak bersyukur’.

“Pada hemat saya, Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri tidak menjuruskan kenyataannya kepada Teluk Intan tetapi mengambil kira keputusuan secara menyeluruh mengenai sikap pengundi Cina kepada BN pada PRU ke 13 lalu,” ujarnya.

Kata Syed Ali lagi, Zahid telah melahirkan kebimbangannya terhadap tahap sokongan pengundi bukan  Melayu terutama orang Cina  terhadap calon BN.

“Zahid bersikap terbuka, tidak orpotunis, dia luahkan rasa bimbang setelah melihat sikap sebenar pengundi Cina yang memihak kepada pembangkang sedangkan mereka telah merasai dan menikmati pelbagai kemudahan disediakan oleh BN,” tegasnya.

Oleh sebab itu jelas beliau, desakan rakan BN, MCA dan Gerakan supaya Zahid menjelaskan maksud kenyataan tersebut sebagai tidak perlu.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Gerakan, Liang Teck Meng menegaskan kenyataan tersebut akan menjejaskan sokongan pengundi Cina.

Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon turut berkata Zahid tidak seharusnya melebelkan mana-mana kominiti sebagai tidak bersyukur.

“Alasan mungkin BN tewas di Teluk Intan berikutan kenyataan Zahid juga tidak munasabah,” ujar Syed Ali.

Sebaliknya kata beliau, rakan komponen BN sepatutnya melihat kenyataan tersebut sebagai cabaran untuk membuktikan sejauhmana sebenarnya sokongan pengundi Cina terhadap BN.

“PRK Teluk Intan (Sabtu)  ini boleh dijadikan kayu pengukur untuk melihat sejauh sokongan pengundi Cina kepada calon BN, Datuk Mah Siew Keong yang juga Presiden Gerakan,” tegasnya lagi.

Tiada ulasan: