HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 Mei 2014

Pro M Umskal bantah tindakan pihak universiti

Semasa perbicaraan mahasiswa tersebut tidak diberi ruang untuk mempertahankan diri

UMS


PETALING JAYA: Pro Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (Pro M Umskal) mengutuk tindakan pihak Pentadbiran Umskal yang mengenakan hukuman amaran dan buang kolej terhadap lima mahasiswa dan tiga mahasisiswi.

Menurut Pengerusi Pro Mahasiswa Umskal Jamhuri Mohamed, lapan orang mahasiswa ini merupakan sebahagian daripada 16 orang mahasiswa yang dikenakan prosiding tatatertib kerana dituduh menyertai perhimpunan bagi membantah tindakan pihak universiti menarik satu lot premis kedai diuruskan oleh Sekretariat Masjid selama 6 tahun.

Katanya, 16 mahasiswa ini dibicarakan di bawah Kaedah 9 (3) Kaedah-Kaedah Universiti Malaysia Sabah (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1999, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 iaitu tuduhan menghadiri atau menyertai perhimpunan yang tidak mendapat kebenaran pihak Universiti.

“Jika disabitkan bersalah, mahasiswa ini boleh dihukum dengan diberikan amaran, didenda tidak melebihi dua ratus ringgit, dilarang daripada berada di kawasan di Universiti, digantung pengajian atau dipecat daripada universiti,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujarnya, perbicaraan tersebut dikendalikan oleh bahagian perundangan, tatatertib dan diketuai oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Pengantarabangsa UMS, Prof Dr Shariff Abd. Kadir S. Omang Al-Haj.

“Soalan yang ditanya kepada mahasiswa semasa perbicaraan jelas tidak memberi ruang kepada mahasiswa untuk mempertahankan diri kerana mahasiswa ditanya apakah mereka mengaku menyertai himpunan, dan jika mereka mengaku, maka secara automatik mereka akan didapati bersalah dan terus dihukum.

“Lapan mahasiswa dibuang kolej dan dihukum serta merta setelah mereka mengaku menyertai himpunan berkenaan, manakala tujuh  mahasiswa lagi mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan secara adil. Mendengar jawapan itu, pihak universiti menangguhkan hukuman terhadap tujuh mahasiswa berkenaan dan akan disambung pada satu tarikh yang belum ditetapkan,” katanya.

Jamhuri turut mempertikai tindakan pihak universiti yang melakukan perbicaraan dan membuat hukuman secara tergesa-gesa kerana 16 orang mahasiswa tersebut dibicarakan dalam masa kurang 5 jam dan 8 daripadanya terus dihukum.

Jelasnya lagi, tarikh perbicaraan juga terlalu hampir dengan tarikh surat pertuduhan dikeluarkan kerana 16 orang mahasiswa berkenaan menerima surat pertuduhan pada 23 Mei yang mengarahkan semua mahasiswa terbabit hadir perbicaraan pada 26 Mei.

“Jarak masa tiga hari ini merupakan tempoh yang tidak munasabah untuk mahasiswa yang didakwa membuat persediaan untuk menghadapi perbicaraan.

Sedangkan menurut Seksyen 16B(3B) dan 16B (3C) Auku, mahasiswa sewajarnya diberi hak  untuk bersedia dari segi hujahan bertulis dan berhak mencari seseorang untuk mewakili mahasiswa berkenaan  semasa perbicaraan dijalankan,” katanya.

Tambahnya, perbicaraan yang dijalankan oleh pihak universiti sebagai berat sebelah kerana pendakwaan dan hukuman dijatuhkan oleh pihak yang sama.

“Perbicaraan yang dijalankan menurut Seksyen 16 Auku ini jelas memberi kelebihan kepada pihak universiti apabila pihak universiti berperanan sebagai pendakwa dan dalam masa yang sama menjadi hakim untuk memutuskan hukuman.

“Maka Pro M Umskal menyifatkan perbicaraan ini sebagai tidak adil kepada mahasiswa dan keputusan yang dibuat sudah pasti menyebelahi kepentingan Universiti,” katanya.

Bukan itu sahaja, prosiding ini tidak sepatutnya berlaku kerana pertuduhan yang dikenakan jelas bercanggah dengan hak kebebasan berhimpun yang termaktub sebagai ‘Fundamental Rights’ dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pihak universiti sewajarnya sedar bahawa pertuduhan ini bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Bahkan pihak universiti juga gagal untuk menghormati regulasi Mahkamah Rayuan Putrajaya yang telah mengisytiharkan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman sebagai tidak sah kerana bertentangan dengan hak kebebasan berhimpun yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Tiada ulasan: