Mesyuarat Majlis Tertinggi yang sepatutnya diadakan pada hari Jumaat ini telah dibatalkan. Begitu juga perjumpaan tertutup diantara Presiden parti dan pimpinan Bahagian yang juga sepatutnya diadakan di Dewan Tun Hussein Onn pada hari yang sama dibatalkan. Setiausaha Agung UMNO T Adnan Mansor tidak pula memberitahu apakah sebabnya perjumpaan-perjumpaan itu dibatalkan.
Pembatalan itu dikatakan kena-mengena dengan pemecatan Muhyiddin Yassin dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dua hari lepas. Apa kaitan dengan pemecatan itu sama-sama kita buat persepsi masing-masing.
Tetapi seperkara yang wajar difahami, yang dipecat itu adalah pemimpin nombor dua negara dan mesyuarat itu tidak sepatutnya dibatalkan. Malahan Najib sepatutnya memanggil perhimpunan Agung khas UMNO kerana yang terlibat itu adalah pemimpin besar dalam parti dan kerajaan. Moralnya perhimpunan Agong khas parti wajar dipanggil serta merta bagi mendapatkan pandangan perwakilan dari seluruh negara.
Lebih dari itu Najib sebagai pengerusi BN sepatutnya memanggil mesyuarat majlis tertinggi BN kerana ia melibatkan Timbalan Pengerusi kepada BN. Najib tidak boleh memecat seperti membunuh nyamuk sahaja. Yang beliau pecat itu adalah Timbalan Perdana Menteri bukannya timbalan pengerusi JKKK.
Jika Najib benar-benar bermoral manusianya, kedua-dua perhimpunan Agung Khas UMNO serta perhimpunan Majlis BN wajar diadakan kerana itu sahaja caranya bagi Najib mendapat sokongan secara legitimasi dari pimpinan BN dan perhimpunan agung UMNO.
Perlantikan Muhyiddin sebagai Timbalan Perdana Menteri itu adalah dengan 'endorsement' BN, maka adalah salah moralnya jika BN dan perwakilan UMNO tidak diberitahu secara resmi tentang pemecatan yang beliau lakukan terhadap timbalannya. Jika semasa perlantikan Muhyiddin sebagai timbalannya dahulu di restui oleh perhimpunan UMNO dan BN maka pemecatan beliau itu perlu dirujuk kembali kepada perhimpunan khas UMNO dan BN juga.
Jika semasa meminang anak dara orang untuk dinikahi maka jika sampai waktu bercerai Najib perlu kembalikan isteri yang hendak diceraikan itu kepada ibu bapanya. Najib tidak boleh mencapakkan begitu sahaja timbalannya itu apabila sudah tidak diperlukannya lagi. Itu Melayu tidak beradab dan beradat namanya.Bukankah Melayu itu hidup mereka dikandung adat? Agama dijunjung adat dikendung, kata orang-orang yang beradat hidupnya.
Najib wajar memberitahu dengan berani bahawa beliau memecat Timbalanya itu diatas dasar dan sebab yang kukuh. Ahli-ahli UMNO serta BN wajar diberitahu melalui perjumpaan dan perhimpunan khas dan beliau tidak boleh hanya pandai memecat tetapi tidak tahu dan tidak berani untuk mengendalikan tindakan beliau memecat Timbalannya itu.
Lebih dari itu Najib perlu mendapatkan sokongan dari perhimpunan agung khas tentang perlantikan Ahmad Zahid Hamidi sebagai pengganti kepada Muhyiddin itu. Jika Najib tidak berani memanggil perhimpunan agung khas UMNO dan perhimpunan Barisan Nasional, persepsi umum yang pemecatan yang dilakukan oleh Najib itu adalah di dasarkan kepada kepentingan peribadi beliau sahaja dan bukannya diatas kepentingan partinya. Persepsi ramai yang beliau memecat Muhyiddin dan melantik Zahid Hamidi itu adalah semata-mata untuk melindungi beliau dari 'consequence' isu 1MDB semata-mata.
Ahli-ahli UMNO dan BN wajar mendesak Najib untuk memanggil perhimpunan agung khas itu kerana itu adalah tindakan yang sewajarnya dilakukan setelah melakukan pemecatan terhadap pemimpin nombor dua negara itu.
Kelalaian Najib dalam isu ini akan menguatkan persepsi ramai yang beliau seorang pemimpin yang tidak tahu adat dan adab dan hanya pandai mendapatkan dan seterusnya mengekalkan kuasa tanpa moral yang tinggi.
Isu ini isu besar. Najib perlu didesak dan mengambil isu ini sebagai isu besar kerana ia merupakan elemen penting dalam demokrasi, iaitu memperkayakan budaya dan semangat demokrasi itu.
Jika tidak dilakukan ini, Najib akan berhadapan dengan cemuhan dan interpretasi masing-masing dari rakyat jelata. Najib perlu bertanggungjawab diatas pemecatan timbalannya ini. Jika tidak betul kendaliannya, Najib tidak mustahil tersungkur dihadapan mata rakyat jelata yang semakin jemu dengan tindakan-tindakan pengecut beliau itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan