HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Julai 2015

Mukhriz Mahathir tiba di rumah Muhyiddin

MALAYSIAKINI


 


Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir baru saja hadir ke kediaman bekas timbalan perdana menteri Muhyiddin Yassin kira-kira jam 8.35 malam tadi.

Beliau kemudiannya terus memasuki rumah berkenaan tanpa berkata apa-apa kepada wakil media yang telah menunggu di situ sejak petang tadi lagi.


Beberapa minit sebelum itu, Muhyiddin keluar untuk pertama kalinya sejak digugurkan dari kabinet Datuk Seri Najib Razak mengucapkan terima kasih kepada rakan media dan mereka yang mengunjungi beliau.

Muhyiddin yang berbaju petak biru kelihatan tenang dan sempat melemparkan senyuman kepada kira-kira empat puluh petugas media tempatan dan antarabangsa di perkarangan rumahnya.

Beliau bagaimanapun menyatakan hanya akan membuat sidang akhbar pada keesokan harinya.

"Saya cuma nak nyatakan saya telah pun mengeluarkan kenyataan saya dan media pun telah melaporkan apa yang telah berlaku dan bagaimana kenyataan yang telah saya keluarkan petang tadi. Dan saya tak akan beri kenyataan baru.

"Saya akan maklumkan esok jam 11 pagi saya jemput semua media datang sini dan di situ nanti saya akan jelaskan apa-apa pertanyaan persoalan yang dikemukakan oleh saudara-saudara sekalian sama ada media tempatan atau antarabangsa.

“Itu saja saya nak sebutkan," kata beliau sebelum kembali ke rumahnya.

Sementara itu, Mukhriz beredar di sekitar jam 11.05 malam tetapi enggan mengulas mengenai pertemuan itu.

Beliau tidak mahu memberikan sebarang komen mengenai kehadirannya di rumah Muhyiddin.

"Saya tidak mahu berikan komen, terima kasih," katanya tersenyum kepada hampir 40 wartawan yang berkumpul di perkarangan rumah Muhyiddin.

Ditanya sama ada ayahnya Tun Dr Mahathir Mohammad akan turut menziarahi Muhyiddin, Mukhriz meminta wartawan bertanya terus kepada bekas perdana menteri itu.

Tiada ulasan: