KOTA BHARU, Biarpun kelihatan ‘gah’ dengan sebiji kapal terbang diletakkan di ketinggian lebih lima meter di hadapan premis namun Restoran Kapal Terbang dekat Lundang, di sini,sebenarnya masih beroperasi tanpa kelulusan.

Difahamkan, sudah 29 kompaun di bawah Undang-Undang Iklan1990 dan 3 dibawah Undang-Undang Kecil Pengawalan dan Penyeliaan Establishment Makanan MPKB 1987 sudah dikeluarkan, pemiliknya masih berdegil dan tetap menjalankan perniagaan.

Ekoran itu, Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) terpaksa berkeras dengan menyita restoran terbabit mengikut Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Setiausaha MPKB, Rosnazli Amin berkata peniaga terbabit beberapa kali ingkar notis yang dikeluarkan supaya memberhentikan perniagaan, malahan masih meneruskan operasi di samping memasang iklan-iklan di lokasi tertentu di sekitar bandar.

“Sudah banyak kompaun yang dikeluarkan kepada pengendali restoran berkenaan kerana tetap menjalankan perniagaan walaupun tanpa lesen.
RKT 2
Penguatkuasa MPKB menyita sebahagian perabut di Restoran Kapal Terbang di Kota Bharu
 yang beroperasi tanpa kelulusan. – Foto TRP/Adnan Mohamad
“Bangunan premis perniagaan yang dijalankan juga merupakan bangunan yang tidak mendapat kelulusan pembinaan, kerana dibina terlalu rapat dengan jalan serta tiada anjakan daripada sempadan sebagaimana yang sepatutnya.

“Di samping itu juga kapal terbang yang diletakkan di bangunan berkenaan berada terlalu hampir dengan jalan dan boleh menimbulkan pelbagai implikasi kejadian yang tidak diingini,” katanya dalam kenyataan.

Rosnazli berkata ekoran sikap keras kepala pemilik restoran terbabit, MPKB terpaksa menyita tiga buah meja makan besar dan 15 biji kerusi restoran berkenaan tengahari tadi dengan kekuatan 25 anggota penguatkuasa serta dua orang polis.
RKT 1
Sedikit ketegangan timbul ketika pasukan penguatkuasa MPKB dan polis datang sekali
 lagi bagi menyita Restoran Kapal Terbang di Jalan Dato’ Lundang, Kota Bharu, jam 10.30 malam. – Foto TRP/Adnan Mohamad
Bagaimanapun, katanya sikap pemiliknya yang masih menjalankan perniagaan menyebabkan MPKB bersama penguatkuasa dan polis sekali lagi datang menyita terus restoran berkenaan kira-kira jam 10.30 malam tadi.

Beliau menegaskan pemilik restoran hanya boleh menjalankan perniagaan setelah kelulusan pembinaan bangunan dan peletakan kapal terbang di atas premis bangunan berkenaan dibuat sebagaimana peraturan anjakan daripada jalan raya atau dengan kata lain diluluskan.