KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mewujudkan satu jawatan baharu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) II dalam rombakan Kabinet yang diumumkannya, hari ini.
  
Najib turut mengumumkan pelantikan Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan, menyandang jawatan baharu berkenaan.
  
Sebelum pelantikannya, Ong Ka Chuan, 61, yang juga Ahli Parlimen Tanjung Malim, Perak, pernah berkhidmat sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada Mac 2008 sehingga April 2009 ketika era pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Ka Chuan yang juga abang Wakil Khas Perdana Menteri Ke China, Tan Sri Ong Ka Ting, adalah lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dan Sastera, Universiti Malaya.

Sementara itu, Datuk Ahmad Maslan pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Miti.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Barisan Nasional bagi Pontian, Johor, akan menggantikan Datuk Hamim Samuri yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.
   
Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Lee Chee Leong, masing-masing kekal sebagai Menteri dan Timbalan Menteri Miti. - Bernama