HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Julai 2015

Umno Sg Besar pula batal jemput Muhyiddin

Muhyiddin Gugur
Muhyiddin


SHAH ALAM - Selepas Umno Raub membatalkan hasrat untuk menjemput Timbalan Presiden Umno yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini bagi merasmikan mesyuarat bahagian, Umno Sungai Besar turut mengambil langkah sama, lewat malam semalam.

Ketuanya, Datuk Jamal Md Yunos berkata, keputusan itu dibuat mengambil kira suasana politik semasa.

"Umno Sungai Besar batalkan hasrat untuk menjemput Timbalan Presiden Umno bagi majlis perasmian Persidangan Perwakilan 2015. Rombakan Kabinet ini dilakukan setelah Perdana Menteri mengambil kira pertimbangan politik dan kepentingan pentadbiran kerajaan.

"Mengambil kira faktor ini, Umno Sungai Besar sangat khuatir sekiranya jemputan ini diteruskan, insiden yang berlaku ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikan Persidangan Umno Cheras yang mana beliau telah secara terang-terangan mengkritik dan mempertikaikan isu 1MDB (1Malaysia Development Berhad) yang sedang dalam proses siasatan Ketua Audit Negara dan Jawatan Kuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berulang dan sekaligus mengeruhkan keadaan politik Negara.

"Kenyataan beliau tersebut adalah bertentangan dengan Prinsip Tanggungjawab Bersama (Collective Responsibility) dan sekiranya berulang, ia boleh memecahbelahkan kepercayaan ahli akar umbi kepada kepimpinan parti dan menjejaskan pentadbiran kerajaan yang baru diumumkan oleh Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan.

Datuk Seri Najib Tun Razak yang menggugurkan Timbalannya, Muhyiddin Yassin kelmarin menjelaskan tindakan itu sememangnya 'sukar' namun keputusan dibuat demi memperkuatkan lagi jemaah menteri sebelum menghadapi Pilihan Raya ke-14.


Tiada ulasan: