HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Julai 2015

Rombakan kabinet: Antara sarkastik, harapan

MALAYSIAKINI



 
 
Ketika orang ramai didakwa mengharapkan kemunculan seorang perdana menteri baru, apa yang berlaku adalah pertukaran timbalannya dan menteri baru.

Menulis sebaris ayat dalam Facebook, Aishah mencatat: “Minta tukar perdana menteri, dapat timbalan menteri baru. Mungkin mesej rakyat belum jelas lagi.”

Kira-kira dua jam kemudian Aishah mencoret lagi: "Patah tumbuh hilang berganti...yg patah pun jahanam yg ganti pun hampeh...yg seksanya rakyat!!!"

Tengah hari tadi Datuk Seri Najib Razak mengumumkan rombakan kabinet dengan menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada jawatan timbalan perdana menteri.

Turut digugurkan ialah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G Palanivel, Datuk Seri Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), Datuk Ewon Ebin (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) dan Datuk Seri Hasan Malek (Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan).

Sebelum ini Aishah - bekas calon PAS dalam pilihan raya umum lalu - memuat naik statusnya yang mencadangkan supaya kajian dibuat untuk mengetahui berapa ramai rakyat Malaysia mahukan perdana menteri baru.

Penyair dan pelakon, Pyanhabib (gambar) pula berkata tindakan Najib hari ini menyamai langkah diambil Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1998.

“Malaya kucar-kacir, huru-hara dan haru-biru semua salah (Datuk Seri)  Anwar (Ibrahim)? Perlakuan siapakah diwarisi Najib kalau bukan Mahathir?

“Tuhan Allah sayangkan Abam Muhyiddin ketat-ketat,” katanya dalam Facebook.

Sementara itu Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) Zed Zaidi menyambut baik rombakan kabinet hari ini.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Zed berkata "transformasi baru" itu seharusnya dapat melicinkan jentera kerajaan dalam memerintah negara.

Harapan Zed, menteri baru kali ini akan mendengar suara artis tanahair mengenai nasib mereka yang masih lagi terumbang-ambing dalam industri seni.

“Seniman amat mengalu-alukan pertukaran ini dan mengucapkan tahnia atas pemilihan baru,” katanya. 
 
 
 

Tiada ulasan: