HALAMAN SANTAI

Jumaat, 31 Julai 2015

PM perlu bubar Parlimen segera

DETIK DAILY


 
Pemuda Harapan Baru Negeri Perak menegaskan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merombak Kabinet Menteri Malaysia tidak menyelesaikan permasalahan negara.

Tindakan tersebut hanya bersifat menyelesaikan masalah peribadi beliau yang semakin terancam apabila terpalit dengan pelbagai skandal dan kepincangan dalam pemerintahannya.

Ini kerana pimpinan Umno dan orang kanan beliau sendiri semakin berani dalam mempertikai serta mempersoal salah laku yang dikaitkan keatasnya termasuklah isu 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perlantikan Datuk Seri Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri baharu menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat bukanlah atas dasar kepentingan rakyat, ini kerana timbalan perdana menteri sebelum ini tidak dipersoalkan akan prestasinya oleh mana-mana pihak.

Kami sangat kesal kerana Najib hanya mementingkan kepentingan peribadinya berbanding kepentingan rakyat yang kini semakin dihimpit dengan kos sara hidup.

Pemuda Harapan Baru Negeri Perak yakin rombakan yang dilakukan oleh Najib tidak mendapat sokongan daripada rakyat sebaliknya telah memberi gambaran bahawa Najib sanggup membuat apa sahaja demi mempertahankan kedudukannya.

Rakyat Malaysia khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana sedang berhempas pulas menjalani kehidupan dalam keadaan sangat terhimpit dan terbeban.

Ini disebabkan tindakan kerajaan mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang mendorong kepada kenaikan hampir ke semua perkara disamping menaikkan harga petrol dan sebagainya.

Kerajaan yang ada pada hari ini telah terbukti tidak mampu memperjuangkan nasib rakyat serta menstabilkan ekonomi negara. Ini kerana pemimpin termasuklah perdana menteri hanya 'bekerja keras' untuk memastikan mereka terus mencengkam pentadbiran negara.

Kami menegaskan, permasalahan negara dan rakyat hanya mampu diselesaikan dengan pembentukan satu kerajaan baharu kerana BN sudah lagi tidak relevan untuk memimpin negara.

Oleh yang demikian, Pemuda Harapan Baru Negeri Perak mendesak Najib untuk membubarkan parlimen secepat yang mungkin bagi menghadap rakyat dalam pertarungan pilihan raya. Rakyat sudah tidak sabar untuk menghukum BN dalam pilihan raya umum ke-14.


MOHD FAKHRULRAZI MOHD MOKHTAR ketua pemuda Gerakan Harapan Baru negeri Perak.

 

Tiada ulasan: